Ziarah Penduduk, Usah Nanti Pilihanraya.

502

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Amalan menziarahi penduduk bukan hanya diketika hampir pilihanraya semata-mata bagi mendapat undi, tetapi mesti menjadi amalan yang berterusan bagi mencaknai seluruh rakyat.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD), Ghazali Sulaiman berkata, beliau menyasarkan untuk menziarahi bagi bertemu mata dengan penduduk seramai 700 orang seminggu.

“Melalui aktiviti ziarah, bertanya khabar, dan bertemu mata dengan penduduk akan melahirkan ukhwah dan eratan yang kuat.

“Penduduk akan berasa dihargai dan dicaknai. Bertemu dengan penduduk ini selain dari bertandang dari rumah ke rumah, untuk bertemu dengan jumlah yang lebih besar maka perlu bertemu di lapangan.

“Bertemu penduduk d pasar tani, pasar malam, di klinik-klinik, jabatan-jabatan kerajaan, pada majlis-majlis tertentu maka akan memberi peluang untuk bertemu dalam jumlah yang besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika berkunjung ke rumah-rumah warga emas di Kampung Rantau Panjang, Bukit Besi, semalam.

Menurutnya bertemu penduduk menjadi perapi pada dirinya, dan akan dapat menyelami segala permasalahan penduduk.

“Masalah yang mereka hadapi sudah tentu berbeza-beza.

“Apabila bertemu pada lazimnya sudah tentu banyak perkara akan dicurahkan,” ujarnya.

Amalan ziarah itu juga menurutnya, akan menjadi strategi untuk memenangkan PAS di DUN Bukit Besi.

Tambahnya, kemenangan PAS adalah perlu bagi direncanakan dalam menguasai DUN Bukit Besi, dalam membela nasib penduduk disini.

“Islam menang dan memimpin, maka Bukit Besi akan sejahtera.

“Serta suara penduduk Bukit Besi akan dapat dibawa dan disuarakan pada sidang Dewan Undangan Negeri dalam memastikan Bukit Besi maju dan dapat dibangunkan dengan lebih mampan,” tegasnya.