Yakin Kemampuan Dr Aliakbar

177

Oleh : Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU – Pemilihan dan pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, mewakili PAS sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Sabah itu suatu pencapaian besar bagi parti.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, YB Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau percaya pelantikan Dr Aliakbar itu mempunyai segala ciri-ciri yang diperlukan.

Bahkan, katanya pelantikan wakil PAS itu bagi memastikan ADUN berkenaan dapat berkhidmat dengan baik untuk rakyat Sabah.

“Ini suatu pencapaian yang besar kepada perjuangan PAS di Sabah. Dengan pelantikan ini, saya percaya Dr Aliakbar mempunyai segala, ciri-ciri yang diperlukan bagi memastikan khidmat yang terbaik untuk rakyat di Sabah,” ujarnya selepas pertemuan bulanan dengan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di pejabatnya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) atas pelantikan ADUN itu.

Menurutnya, meskipun PAS tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu tetapi berusaha keras membantu kemenangan GRS dan PN.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah dan Perikatan Nasional, di atas kepercayaan yang diberikan kepada Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN Lantikan Sabah.

“Sebelum ini, kita (PAS) berusaha melalui pilihan raya dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu, PAS tidak bertanding tetapi bersungguh-sungguh membantu kemenangan parti-parti di dalam Perikatan Nasional, GRS dan membantu semua calon-calon itu di Sabah untuk memperolehi kemenangan,” jelasnya.

Pada PRN lalu, Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memenangi pilihan raya serta membentuk kerajaan baharu Sabah.