Wujudkan Pengkalan Laut Hadapan

379

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Malaysia digesa mewujudkan sebuah Pengkalan Laut Hadapan di Laut China Selatan bagi tujuan memperkukuhkan kehadiran penguatkuasa (presence) dan mempercepatkan respon tindakan (rapid deployment).

Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, ancaman keselamatan ke atas perairan negara semakin kritikal, ditambah lagi dengan pencerobohan besar-besaran oleh warga asing dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif.

“seperti yang dibuktikan dengan tangkapan enam bot nelayan Vietnam dengan 64 tekong dan awak-awak oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui KM PEKAN minggu lalu,” tegasnya.

Beliau berkata demikina dalam satu kenyataan kepada pihak media hari ini, Khamis 2 Mei.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengucapkan syabas dan syukur diatas kejayaan tersebut.

“Kejayaan ini tidak boleh menafikan keperluan Pengkalan Hadapan ini bahkan menguatkan lagi kepentingannya. Tambahan lagi keselamatan pekerja pelantar minyak Malaysia dalam kebimbangan ekoran kecenderungan nelayan asing ini menangkap ikan berhampiran pelantar minyak.

“Malah, ingatan kita masih segar dengan kejadian rampasan kapal tangki Orkim Harmony yang hilang dalam perairan negara pada 2015 dan dijumpai di perairan Kemboja, 210 batu Nautika daripada Pulau Redang.,” jelasnya.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan pusat bekerjasama dengan Petronas bagi membina Pengkalan Hadapan tersebut secara perkongsian dan gunasama untuk agensi seperti APMM dan TLDM.

“Model pembinaan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Timur Sabah oleh Petronas boleh digunakan untuk pembinaan Pengkalan Laut Cina Selatan,” kata beliau.

Di samping itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama strategic dengan syarikat-syarikat pengeluar minyak yang lain untuk menambah baik aset kawalan keselamatan negara.

“Cukuplah kejadian pencerobohan asing dalam perairan negara dan mengaut hasil mahsul negara ini berlaku.

“Langkah segera perlukan dilakukan sekarang demi menjaga kedaulatan tanah tumpah negara kita ini,” tembah beliau.