Wanita DHPP Giat Usaha Penerangan

2087
Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, akan mengiat usahakan penerangan dasar-dasar pelancongan kepada masyarakat non-muslim di Terengganu.

Ketuanya, Angeline Mak Yunyah, 36, berkata usaha penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan dan etika pelancongan kepada rakyat perlu dilakukan dengan baik.

Ini kerana, katanya masih ramai rakyat terutama golongan non-muslim di negeri Terengganu dan pelancong luar keliru dengan peraturan.

“Kami dari wanita DHPP sedia untuk jadi orang tengah, untuk terangkan kepada masyarakat non-muslim di negeri (Terengganu) ini tentang dasar-dasar kerajaan negeri yang baharu ini.

“Dulu kerajaan (Barisan Nasional) lain, sekarang kerajaan PAS memerintah Terengganu. Bila ada dasar-dasar baru mereka (non-muslim) keliru dan rasa tidak senang.

“Jadi kita (DHPP) sedia jadi orang tengah untuk terang dan jelaskan kepada mereka apa yang kerajaan kita (Terengganu) buat, juga kepada pelancong luar,” ujarnya kepada Buletinonline.net.

Menurutnya, isu kerajaan Terengganu tidak membenarkan penganjuran Festival Muzik Pulau atas nama Island Music Festival itu disokong penuh oleh DHPP negeri.

Ini kerana, kata Angeline, promosi iklan festival itu amat memalukan dan menjejaskan imej kerajaan Terengganu yang lebih Islamik.

“Kita (DHPP) pun tak sokong jika ada pihak nak buat pesta-pesta yang teruk seperti mengajak rakyat kepada seks bebas dan mabuk-mabuk.

“Kita orang Terengganu baik Melayu, Cina dan India tahu adat budaya orang timur ini, kita (rakyat) mahu yang baik-baik sahaja,” jelasnya menyokong tindakan kerajaan menghalang penganjuran festival tersebut.

Tambahnya, mana-mana peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri wajar dipatuhi dan dihormati selagi tidak menjejaskan hak non-muslim.