‘Walimatulurus Perdana’ Bantu Ringankan Beban Ahli Keluarga

408

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – ‘Walimatulurus Perdana’ anjuran Kerajaan PAS Terengganu bertujuan membantu golongan muda serta memudahkan dan meringankan bebanan ahli keluarga melaksanakan majlis perkahwinan bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata demikian, ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman beliau, di Kertih, hari ini.

“Keluhan ibu-bapa seringkali kita dengar apabila anak mereka ingin melangsungkan perkahwinan, kekangan kewangan tentulah cabaran utama golongan muda dan keluarga mereka ini.

“Walimatulurus Perdana ini diperkenalkan kerajaan negeri untuk membantu golongan muda melangsungkan perkahwinan tanpa kos kewangan yang membebankan.

“Golongan muda-mudi atau ibu-bapa mereka di DUN Kemasik, perlu mengambil manfaat ini sebaik mungkin, syariat Islam itu sendiri sangat menggalakkan perkahwinan,” ujar Ir Saiful Azmi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, juga memberitahu banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh Kerajaan Terengganu melalui program itu seperti persalinan lengkap pakaian pengantin, caruman lengkap RM1,000 setiap pasangan, jemputan 100 orang ahli keluarga setiap pasangan dan pakej jurugambar.

“Selain itu, semua bayaran akad nikah dan jamuan majlis perkahwinan dibiayai oleh kerajaan negeri, paling menarik, pinjaman modal perniagaan juga ditawarkan kepada pasangan pengantin baru yang layak.

“Kita di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kemasik bersedia membantu, pendaftaran Walimatulurus Perdana terdekat dibuka sehingga 30 Jun 2019 dan majlis resepsi akan diadakan pada 17 Ogos 2019 nanti,” jelas beliau lagi.