Walaupun Kesal, Tidak Salahkan Mana-Mana Pihak

3344

KUALA TERENGGANU – Walaupun kesal dengan pembatalan ceramah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) namun Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Katanya, kenyataan beliau dalam hal pembatalan ceramah di UMT bernada positif dan hanyalah bertujuan untuk pemakluman sahaja.

“Tapi mohon maaf, kerana kenyataan penjelasan balas dari Timbalan Naib Canselor (A&A) Universiti Malaysia Terengganu mengelirukan orang ramai.

“Ia bukan ‘miscommunication’ sebenarnya. Saya dijemput ke UMT dengan ada surat rasmi ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (A&A),” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian dalam kenyataannya di laman sosial beliau pada Jumaat, 30 November.

Katanya, pembatalan program tersebut hanya dimaklumnkan secara lisan oleh salah seorang pensyarah terlibat.

“Tiada sebarang surat makluman pembatalan yang dihantar. Alasan yang dberikan pensyarah tersebut kerana TNC (A&A) tak tandatangan surat perlepasan untuk para pelajar hadir ke program ceramah ini maka ceramah ini dibatalkan.

“Kenapa TNC tak nak bagi perlepasan kepada pelajar untuk hadir ke program ini, saya tak campur kerana itu bidang kuasa beliau. TNC (A&A) juga tak pernah menghubungi saya mengenai pembatalan ini,” jelasnya.

Justeru itu, beliau berikrar akan terus bergerak ke hadapan, telah bekerjasama dan tetap akan bekerjasama.

Katanya, kenyataan beliau keluarkan adalah hanya untuk menjelaskan sebarang kekeliruan sahaja.