Wala’ Keputusan Pimpinan

439

Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN – Setiap ahli Parti Islam Se-Malaysia(PAS) perlu wala’ dan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi parti.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang,  Ustaz Rosli Abdul Jabar mengingatkan bahawa ta’awun siyasi dengan Barisan Nasional (BN) perlu difahami, dicernakan dan dipatuhi bagi memudahkan jentera di peringkat PAS Pusat mengatur strategi seterusnya.

“Kita di peringkat akar umbi perlu memahami percaturan yang dibuat di peringkat atasan supaya ianya mudah direalisasikan.

“Mujahadah yang tinggi juga perlu bagi membuang perasaan dendam yang ada pada hati kita terhadap Umno selama ini demi kebaikan Islam”, jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjung Lumpur itu berkata demikian ketika berucap  di Program Liqa’ Fikri MTD Kijal di sini pada 7 November.

Program  anjuran Lajnah Tarbiyah MTD PAS Kijal yang diterajui oleh Ustaz Rafzan Razak turut dihadiri Pengarah MTD, Ustaz Hazri Jusoh.

Menurutnya, program tersebut diadakan bertujuan memberi penjelasan dan kefahaman kepada jentera parti, kerjasama PAS  dengan Umno.

“Kalau kita berniaga kita nak untung, kita kena tarik orang datang ke kedai kita dan membeli barangan di kedai kita, jangan kita halau pula dia, macamana kita nak untung?” soal beliau, sinis.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar(tengah) melancarkan kempen ‘PAS Pilihanku’ sambil diperhatikan Pengarah MTD Kijal , Ustaz Hazri Jusoh(kanan sekali)

Sempena majlis itu juga diadakan gimik pelancaran kempen “PAS PILIHANKU” oleh Lajnah Keahlian dan Pemilih yang dipengerusikan oleh Shafiee Embong untuk menambah keahlian PAS di DUN Kijal di dalam menghadapi Pilihan Raya  Umum ke 15 nanti.