Wala’, Candu Jemaah

272

Motto ini sering kali kita dengar dahulu. Ia datang dari kumpulan luar PAS yang selalu mengkritik organisasi PAS. Bahkan ada juga agamawan yang begitu asyik mengetuk papan kekunci bersorak sama menuduh PAS bagaikan Syiah, konon ahli PAS menganggap pimpinannya bagaikan maksum.

Memang benar, jika pimpinan itu membawa kita ke jalan yang entah ke mana-mana dan kita mengikut membabi buta, kita tidaklah dikenali sebagai wala’ kepada agama, sebaliknya kita akan dikeang sebagai orang yang bodoh, ikut terjun ke dalam lubang kemusnahan.

Pasti sudah ramai yang mendengar kisah sahabat yang ditugaskan ke medan perang. Mereka sekumpulan kecil, diarahkan rasulullah diketuai oleh salah seorang daripada mereka. Taat dan patuh kepada ketua itu wajib sepanjang operasi. Namun, terjadi ketuanya berlaku pelik, dikumpulnya kayu api, dibakar, lalu disuruh ahli kumpulannya terjun ke dalam.

Ingkarlah para sahabat lain akan arahan tidak masuk akal ini. Pulang mereka ke Madinah, diceritakan perihal kejadian kepada rasulullah. Langsung dipuji baginda kerana sahabat sekeliannya, tidaklah menurut arahan yang salah, lagi berdosa itu. Menghumbankan diri ke dalam kebinasaan.

Tetapi dalam satu arahan lain, rasulullah mewajibkan ahli-ahli jemaah, mengikuti ketua mereka, walaupun seorang hamba yang berkepala seperti anggur kering. Tidaklah disuruh memandang wajahnya, tetapi dalilnya itu, adakah dari Allah dan rasul atau dari mana? Maka wajib dia ditaati.

Maka wala’ yang sebeginilah yang wajib kepada ahli jemaah. Tidak berbalah dengan hal yang furu’, tetapi bersatu diatas dalil itu kerana dalam berpolitik, terkadang terpaksa pimpinan memilih dalil yang agak lemah, tetapi menyelamatkan jemaah. Khalid al-Walid memilih berundur dari medan Perang Mu’tah setelah diasak teruk musuh. Orang ramai mengutuk tindakan Khalid, namun rasulullah membenarkan Khalid kerana mengelak musnah lebih besar.

Apabila terlalu banyak bertanya, maka ia akan menyulitkan pimpinan. Dengan banyak kepala dalam pimpinan yang bijak dan berfikir, tidaklah layak satu atau dua kepala yang membantah itu bersikap keras dan melawan. Ianya juga terkadang adalah strategi pasukan bagi memintas musuh. Tidaklah sayugia mengkhabarkan semua isi rahsia jemaah kita, walau kepada ahli sekalipun.

Jelas dan terang, PAS melakukan ini kepada ahli-ahlinya. Pimpinan kita, sudah tujuh orang semuanya. Tiada seorang yang dilihat dan didapati bersalah berkhianat, menyeleweng dari Islam. Tetapi ahli yang berkhianat, sangat ramai, malah menghasut lagi rakan-rakan mereka yang lain. Sehingga kini, PAS tetap berada di landasan Islam, masih teguh, belum tergelincir, alhamdulillah.

Oleh itu, wala’ kita kepada pimpinan atas kepercayaan mereka akan membimbing kita ke jalan yang diredhai adalah satu kemestian. Inilah ramuan terhebat PAS, dapat ahli yang taat kepada pimpinan, didengki dengan dahsyatnya, dicemburui oleh semua jemaah lain samada sosialis, komunis, mahupun demokratik.

Dibuktikan sekarang ini dengan adanya pertelingkahan dalaman parti politik musuh. Ianya dilihat lucu, geram, marah dan berterabur. Lucu dilihat musuh bagaimana ketuanya tidak boleh mendapat ketaatan daripada timbalannya. Geram dilihat kumpulan Presiden mereka kerana kederhakaan ini mencalar imej parti.

Marah oleh golongan setia kepada Presiden kerana ini boleh menjejaskan peluang bagi ketua mereka menjadi PM ke 8. Dan berterabur ahli-ahli mereka kerana keliru, pimpinan manakah yang mahu dituruti kerana jika silap pilih, mendapat tahi lah mereka semua. Mungkin tiada peluang menang PRU lagi. Dalam Islam, tidak boleh ada dua kepimpinan. Perlu dihapuskan yang kedua. Kita lihat siapa yang terhapus.

Di sinilah kita lihat, wala’, candu jemaah itu tadi diperlukan. Melawan pimpinan adalah satu sikap yang terkeji. Namun dalam kes ini, ianya disukai ramai kerana pimpinan utama itu dibenci oleh majoriti rakyat Malaysia. Maka, timbalannya telah memberikan satu sinar baru dalam landskap politik Malaysia.

Terang dan jelas, betapa wala’ itu adalah rumusan terbaik, perlu ada dalam sesuatu organisasi. Selagi tidak menyeleweng, maka ikutilah. PAS mendahului semua parti dalam isu wala’ kepada pimpinan. Labellah kami apa sahaja, tetapi wala’ tetap kami pegang teguh untuk pimpinan kami menjalankan tugas mereka.

Komunis di China yang dikatakan bagus oleh kafir itu, membunuh rakyatnya, puluhan juta, hanya kerana mahu menagih wala’ yang dikatakan candu itu dari rakyatnya. Begitu juga di Korea Utara. Firaun mahukan rakyat wala’ dia sebagai tuhan, semua orang tahu apa yang dia bayar untuk harga wala’ itu.

Sangat berbeza dengan Islam, mereka perlukan iman dan taqwa untuk menjadi wala’. Syarat yang sangat mudah dan jelas untuk dilaksanakan. Maka kerana itu, Islam tiada masalah dalam mencari wala’, kerana rakyatnya faham apa kehendak agama. Yang penting, ilmu wajib disebarkan kepada rakyat. Selebihnya diserahkan kepada pimpinan yang bertaqwa, taat kepada Allah dan rasul.

Sekarang candu itu sudah tiada dalam PKR. Maka mereka yang ketagihan wala’, sedang meroyan mencari bekalan. Sangat membimbangkan perperangan mereka ini kepada ahli mereka yang tidak faham kenapa ianya terjadi. Ya, mereka tidak faham kerana mereka tidak tahu betapa wala’ itu amat penting bagi menyembuhkan, sedang mereka diajar wala’ itu merosakkan. Candu wala’ diperlukan segera dalam PKR.

PAS saya kira sekarang tenang melihat pergolakan mengejar pangkat ini berlaku dalam PKR. PAS sudah tahu melalui pengalaman, bersedia dengan bekalan wala’. Perosak kepada wala’, sudah dikeluarkan dari jemaah empat tahun lalu yang mana sekarang ini kelihatan tidak waras, dengan tindak tanduk mereka. Maka aman dan damailah PAS dengan keadaan sekarang, memandu cermat jemaah menuju kejayaan.

Pastikan kita cukup bekalan ‘candu’ ini, bagi kita berubat dengannya. Wala’ itu candu, tetapi candu yang mengubati, bukan memusnahkan. Wala’ lah kita kepada pimpinan, insyaAllah selamat.

Mohd Nasir Abdullah
4 Disember 2019