Usul Undi Percaya PM : Orang ‘Penakut’ Jadi Penghalang-Presiden PAS

124

Oleh KAM

MARANG: PAS tidak berganjak dan akan meneruskan usaha membawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di parlimen bagi meneruskan pemerintahannya hingga habis penggal ini.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahawa usul undi percaya itu merupakan salah satu dari proses demokrasi yang dibenarkan.

Menurutnya, usul itu bagi membuka ruang bukan sahaja kepada ahli parlimen PAS termasuk Umno, DAP dan Pakatan Harapan.

Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi terdapat di kalangan tertentu yang ‘penakut’ dan cuba menghalang usul undi percaya itu dari diteruskan.

“Kita (PAS) terus membawa undi percaya kepada Tun Mahathir, salah satu dari proses demokrasi. Yang membuka ruang bukan sahaja kepada Ahli-ahli Parlimen PAS, Umno dan termasuk PH serta DAP, untuk membuat undi kepercayaan.

“Ini salah satu proses demokrasi, walaupu kita tahu ada orang yang ‘penakut’, takut apa? Kita tak takut, orang tak sokong pun tak apa, kita biasa dengan kalah.

“Yang penting ialah kita mahu selamatkan negara. Bukan sahaja (kepada) orang Melayu, orang Islam, termasuklah kaum-kaum lain,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurutnya, adalah lebih baik memberi kepercayaan kepada Tun Mahathir kerana lebih diyakini dan berpengalaman lama mentadbir negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan usul undi percaya seperti itu baharu sahaja turut dibuat di Parlimen Lubnan minggu ini.

“Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama. Bukan tidak ada masalah, (tetapi) Tun boleh mengatasi masalah dan kita yakin.

“Kita minta supaya diberi kepercayaan kepada Perdana Menteri sehingga habis penggal. Itu cadangan PAS, dan kita mengemukakan cadangan yang paling munasabah.

“Dan tidak asing kerana baru lagi Parlimen Lubnan beberapa hari ini membuat undi percaya kepada Perdana Menterinya. Rupanya, ada (juga) orang lain bukan kita (Malaysia) sahaja, yang buat undi percaya,” jelasnya.

Ketika ditanya kenapa ada pihak yang tidak suka dan bimbang dengan usul undi percaya itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, kerana ada orang yang percaya dan tidak percaya kepada Tun Dr Mahathir.

“Sama ada dia tak percaya kepada Tun Mahathir dan perlu dibuktikan, sama ada dia percaya atau tidak (kepada Tun).

“Bila diberi undi kepercayaan dengan makna kedudukan Tun (Mahathir) sebagai Perdana Menteri teguh dan kuat, dapat dukungan rakyat.

“Ini kerana, ahli parlimen adalah mereka yang dipilih oleh rakyat. Tak kira parti apa, semua parti ada. Apatah lagi sebulat suara (sokong). Semua parti bersetuju dan jika ada yang tak bersetuju, kita siapa yang tak bersetuju,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Presiden PAS lagi dalam Pakatan Harapan sendiri tidak bersatu antara parti-parti dan terus berpolitiking.

“Pandangan saya, dalam Pakatan Harapan itu dalam satu parti pun tidak bersatu, termasuk DAP pun berpecah, saya tahu. DAP berpecah, PAN pun tidak sekata.

“Daripada kita ‘politiking’ dalam satu parti sama-sama dalam gabungan Pakatan Harapan, lebih baik kita selesaikan masalah memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri mengendalikan negara untuk tutup pintu krisis sama sendiri,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bukan sahaja pembangunan ‘slow down’ termasuklah kos sara hidup rakyat, implasi berlaku, masalah jenayah makin bertambah dan keselamatan negara juga terancam.

“Saya nak selamatkan rakyat, dengan undi percaya itu, tumpuan (selepas itu) lebih kepada yang melibatkan rakyat. Dan tidak ada tanda tanya lagi, siapa yang nak ambil alih jadi Perdana Menteri dan sebagainya. Tun Mahathir ini dia kenal semua, sebab dia paling lama,” ujarnya dengan nada seloroh.

TAMAT