Usaha Berterusan Memasarkan Produk Sawit Malaysia

293

Pada hari ini, 30 April 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai Prestasi Eksport Sawit serta usaha berterusan Kementerian dalam memasarkan minyak dan produk sawit Malaysia.

2. Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, telah mencatatkan penurunan signifikan sebanyak 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama tahun 2019. Eksport minyak sawit (minyak sawit mentah dan minyak sawit proses) telah menurun sebanyak 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

3. Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sawit dunia selepas Indonesia dengan pasaran minyak sawit di lebih 160 buah negara. KPPK melalui agensinya, terutama MPOB dan MPOC akan meneruskan usaha menempatkan minyak sawit Malaysia sebagai ‘solution provider’ bagi industri makanan dan bukan makanan.

4. Selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama. Di antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan). Anggaran pasaran bagi rantau ini adalah sebanyak 2 juta tan setahun.

5. Sebilangan besar negara yang dinyatakan di atas telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka.

6. KPPK akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan. Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit.

YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
AJK Kerja PAS Pusat
30 April 2020