Usah Jadi Seperti Kerajaan PH

324

Oleh : KAM

KUALA NERUS – Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, masyarakat ini hendaklah diuruskan secara politik kerana ada yang bercampur, berhubung dan bertembung antara satu sama lain.

Ini kerana, kata beliau, bagi melaksanakan konsep taawun itu mestilah berlakunya percampuran dalam masyarakat majmuk.

“Secara langsung menghadapi kehidupan yang mencabar dalam menegakkan yang baik dan menentang yang jahat, berpihak kepada yang hak dan menentang kebatilan. Sama ada menjadi pihak yang berkuasa atau tidak.

“Apabila berkuasa tidak membalas dendam terhadap musuh demi melaksanakan kebaikan dan berlaku adil kepada semua, termasuk ketika berperang sekalipun, maka semua keadaan itu perlu bertindak dan bercampur dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Liqa Fikri PAS Kawasan Kuala Nerus dengan tajuk ‘Islam Memimpin Perpaduan Melalui Taawun Siyasi’ di Kompleks Tarbiyyah A-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, Kuala Nerus, 12 Januari lalu.

Sehubungan itu, katanya kerajaan PAS Terengganu telah membuktikan tindakan itu dengan meneruskan segala projek pembangunan negeri demi kepentingan rakyat.

“Ini kita (PAS) buktikan, kita memerintah Terengganu. Banyak projek-projek kerajaan dahulu (diteruskan) tak ada masalah. Kita teruskan.

“Kita jangan menjadi macam PH (Pakatan Harapan). PH bila dia memerintah, mesti dia cari sabit kesalahan (kerajaan lalu). Bila kita memerintah, kita kena ambil segala hutang-hutang kerajaan terdahulu. Itu bukan hutang Umno, itu hutang kerajaan negeri,” jelasnya dihadapan hampir 750 peserta Liqa’ Fikri itu.

Ustaz Idris yang juga mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang mendakwa janji manifesto kerajaan PAS Terengganu adalah realistik dan tidak sebagaimana manifesto PH.

“Kita (PAS) boleh tunai janji manifesto sebab janji kita itu realistik bukan fantastik macam PH. Kita (Terengganu) boleh buat macam-macam, kita bukan hendak bergaduh dengan sesiapa. Ini tidak, (PH) selalu bergaduh sampai saham pun jatuh,” tegasnya.

Sementara itu, katanya dalam tempoh setahun lebih kerajaan PH memerintah hutang negara semakin meningkat dan bertambah lagi.

“Dalam tempoh setahun, kita (Malaysia) sedang meningkat hutang kita sebanyak RM124 bilion, daripada RM696 bilion telah meningkat kepada RM820 bilion. Dalam masa setahun, peningkatan hutang sebanyak RM124 bilion.

“BN (Barisan Nasional) dulu dia memerintah dalam masa 61 tahun, hutang dia adalah RM696 bilion dan PH dalam masa setahun meningkatkan hutang berbilion. Hutang banyak dalam masa yang sama kita lihat rakyat tak dapat apa-apa,” ujarnya.

Menurut Ustaz Idris, maksud taawun juga adalah melaksanakan keadilan dan menentang kezaliman dengan menjalinkan hubungan dengan semua pihak.

Katanya lagi, melakukan kerja kebajikan yang membela orang yang dizalimi atau membetulkan orang yang salah melakukan kezaliman.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim dan Timbalan Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang.