‘UMT vs UniSZA’ ; Bertindaklah dengan Matang!

235

Isu penularan suatu kenyataan berikutan keputusan Jemaah Menteri untuk menggabungkan dua buah IPTA tempatan di Negeri Terengganu iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

DPPNT mempersoalkan tindakan Jemaah Menteri ini atas sebab keputusan yang diputuskan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa melibatkan pemegang taruh (stakeholders).

Apakah kerajaan negeri, pentadbiran universiti, ahli akademik dan juga mahasiswa dilibatkan dalam keputusan yang dibuat? Sebagai sebuah kerajaan yang selalu mencanangkan untuk mengangkat suarat rakyat tindakan yang membelakangkan pemegang taruh ini mencalarkan imej Kerajaan Malaysia.

DPPNT juga mempersoalkan apakah alasan kukuh untuk menggabungkan kedua IPTA ini?Penawaran kursus-kursus Major sebagai identiti IPTA masing-masing jelas perbezaannya. UMT dengan kursus kejuruteraan Marin dan Maritim manakala UniSZA mempunyai kemahiran dari sudut pengajian Agama.

Jadi dimana titik persamaan antara kedua IPTA ini sehingga keputusan drastik untuk menggabungkan mereka?

Persoalan yang lebih besar adalah kenapa IPTA lain di seluruh Negara yang menawarkan kursus yang seakan sama tidak digabungkan dalam sebuah negeri? Kenapa hanya di Negeri Terengganu?

Berdasarkan persoalan diatas, DPPNT dengan tegas menyatakan pendirian membantah sekeras-kerasnya usaha menggabungkan dua IPTA ini kerana ianya akan mendatangkan kerugian kepada keadaan pendidikan dalam Negara Malaysia dan secara khususnya kepada Negeri Terengganu. Ini kerana UMT dan UniSZA adalah mercu tanda keilmuan yang sudah lama bertapak dalam bumi Darul Iman ini dan sangat dekat dengan masayarakat setempat disini.

DPPNT juga memohon agar pihak kerajaan bertindak secara matang dengan melaksanakan satu kajian bersistematik dan mendapatkan pandangan pemegang taruh untuk menoktahkan polemik ini agar benar-benar memberi manfaat kepada institusi pendidikan Negara. Janganlah sekadar mengambil Idea luar untuk kelihatan hebat sedangkan yang menerima akibat buruk adalah rakyat.

“BERTINDAKLAH DENGAN MATANG”

Zaidan Abdullah
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu