Ulat Bungkus Ancam Tanaman Sawit.

1202

Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN : Beberapa kawasan tanaman kelapa sawit terutamanya di Felda Kertih 5, di sini, adalah antara kawasan serius diancam ulat bungkus.

Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid berkata, pihaknya memandang serius perkembangan membimbangkan berhubung ancaman ulat bungkus kerana ia boleh mengurangkan produktiviti pokok sawit terlibat antara 30 dan 50 peratus.

Ulat bungkus yang memakan daun sawit.

“Masalah ini melibatkan sejenis ulat parasit (ulat bungkus) yang hinggap serta menyerang pokok kelapa sawit.

“Walaupun bersaiz kecil, ia boleh merosakkan keseluruhan pelepah sawit daripada pokok ke pokok dengan merosakkan daun hijau sehingga kering.

“Serangan ulat bungkus yang memakan daun sawit menjejaskan keluaran tandan dan menyebabkan pendapatan para peneroka akan terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, kelmarin.

Pengurus Felda Kertih 5, Mohd Faisal Fauzi dalam taklimat kepada Ahli Parlimen Kemaman tersebut berkata serangan ulat bungkus boleh merosakkan permukaan daun sawit sehingga menjadi kering dan reput.

Ulat bungkus
“Ulat bungkus merebak melalui angin, daun sawit yang bersentuhan dan bawaan jentera ladang.

“Masalah ini berlarutan apabila terdapat ladang dan peneroka yang tidak mengambil langkah-langkah kawalan terhadap serangan ulat bungkus di peringkat awal menyebabkan serangan merebak dan mengancam pengeluaran hasil sawit,” kata Mohd Faisal lagi.

Sementara itu, Ustaz Che Alias bercadang membawa isu ulat bungkus ke Parlimen dan berharap kerajaan dapat membentangkan cadangan komprehensif dalam menyelesaikan masalah ancaman serangan ulat bungkus bagi jangka pendek dan panjang.