Ulama Pandu Kerajaan Terengganu

2439

Oleh :  Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Kerajaan  Terengganu sentiasa dipandu oleh ulama bertepatan dengan PAS yang meletakkan ulama’ sebagai pemimpin
setiap gerak kerja parti dan juga pemerintahan negeri.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun, Alias Harun, berkata ini kerana PAS meletakkan Islam sebagai hala tuju.

Cikgu Alias Harun sedang berucap merasmikan Majlis Agihan Bantuan Awal Persekolahan

Katanya lagi, bagi Negeri Terengganu untuk membimbing kemenangan kerja Islam bukan suatu yang sukar.

Tambahnya, ini kerana kerajaan negeri telahpun mempunyai enakmen syariah sebagai ibu perlembagaannya.

“Telah diluluskan dan ditandatangani oleh Tuanku dan diwartakan pada 27 Oktober 2003 lagi, ” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tema ‘Islam Memimpin Kemenangan’ sempena Ijtimak Kepimpinan PAS negeri yang telah diadakan di Kemaman pada baru-baru ini.

Cikgu Alias sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Agihan Bantuan Awal Persekolahan di Dewan Darul Ansor, Kampung Alur Mak Bah di sini, 3 Disember.

Beliau juga turut meninjau proses agihan tersebut berpuas hati kerana ianya berjalan lancar tanpa berlakunya kesesakan.

“Alhamdulillah dengan kemenangan ini kita mengharapkan apa yang telah diwartakan, insyaAllah sedaya-upaya memperkasakan enakmen syariah ini mengikut kemampuan yang dibenarkan oleh perlembagaan, ” tegas beliau lagi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah membuat perubahan kerajaan, beliau seterusnya berkata apabila Islam memimpin, sudah tentulah akan memberi kemakmuran kepada rakyat dan penduduk Terengganu.

Katanya lagi, segala penyelesaian urusan rakyat akan berpandukan Islam kerana Islam itu sendiri adalah penyelesai kepada seluruh urusan masyarakat.