Ujian Bukit Besi Tanda Allah Sayang

594

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kekerapan bencana ribut, rumah terbakar, rumah dihempap pokok besar dan kejadian yang dilihat berulang kali itu bolehlah diumpamakan Bukit Besi disayangi Allah.

Ketua Lajnah Tarbiah Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Waliyuddin Johari berkata, mungkin itu juga petanda bahawa Bukit Besi akan dimenangi PAS pada Pilihanraya Umum Ke-15 nanti.

“Kerana dengan kejadian ini, seumpama Allah sedang menghantar isyarat bahawa DUN Bukit Besi perlu diberi perhatian dan menjadikan ianya yang dahulu sepi semakin dikenali.

“Di sebalik musibah yang berlaku ini sudah tentu menyebabkan doa daripada orang ramai tidak henti-henti terhadap DUN Bukit Besi ini yang akan menjadikan Bukit Besi akan semakin berkat dan dilimpahi rahmat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, sewaktu meninjau keadaan rumah-rumah yang terlibat di dalam ribut kencang semalam, di Bukit Besi, semalam, 8 Julai.

Di dalam kejadian tersebut, sebanyak 21 buah rumah telah terjejas dimana atap diterbangkan angin, dan ada yang dihempap pokok sehingga merosakkan struktur bangunan.

“Sekarang jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan, agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu telah pun mengetahui bagi mencari jalan menyelesaikan permasalahan ini.

“Kejadian yang berlaku itu melibatkan 13 buah rumah di Kawasan Perumahan Bukit Besi, tiga buah di Kampung Besol dan lima buah melibatkan Kampung Bukit Besi,” ujarnya.

Apa-apa pun menurutnya, di sebalik sesuatu kejadian kena melihat dari sudut positif.

“Ianya bagi melatih diri sentiasa bersangka baik terhadap Allah.

“Serta akan sentiasa menerbitkan dan menatijahkan ketakwaan kepada Allah SWT,” tambah beliau.