Ucaptama Ketua Pemuda PAS ; Demi Islam

478

1.0 MUQADDIMAH

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah ‘Azza Wajalla, dengan Rahmat dan limpah kurnia-Nya maka kita mewarisi dan dianugerahkan Iman dan Islam. Dengannya kehidupan kita dipandu kearah jalan yang benar dan lurus, jalan yang ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul, serta para solihin dan siddiqiin sepanjang zaman. Telah berlalu sunnatullah kepada mereka apabila ujian demi ujian merintangi jalan perjuangan, namun dengan kekuatan iman dan pertolongan dari Allah, mereka tempuhi semua dengan penuh keinsafan sehingga Allah redha keatas mereka. Demikianlah Allah tinggalkan lakaran sejarah termaktub didalam alQuran dan Sunnah Nabi agar menjadi suri teladan bagi kita yang sedang menelusuri jalan ini.

Kita bermuktamar pada kali ini sejurus selepas kita menjalani ibadah puasa sebulan dibulan Ramadhan dan menyambut hari kemenangan setelah tibanya Syawal. Sudah tentu tarbiyah Ramadhan masih segar membekas dalam jiwa kita dan kita berharap dan berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kesabaran kepada kita untuk terus istiqamah dalam ketaatan dalam 11 bulan yang akan datang. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2017-2019, saya mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, Kullu ‘Aamin Wa Antum Bi Khair, Taqabbalallaahu Minna Wa Minkum.

2.0 Menyoroti nasib Islam di persada antarabangsa

Sidang perwakilan & pemerhati sekalian,

Situasi geopolitik semasa memperlihat kepada kita akan kesengsaraan sebahagian daripada umat Islam kerana mempertahankan Islam.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“ Akan tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi)

Tatkala kita bersama keluarga bergembira menyambut Syawal, jangan sesekali kita melupakan keadaan saudara seaqidah kita di Gaza, Palestin. Di ambang Ramadhan yang lalu, Gaza dihujani dengan peluru dan roket yang menyaksikan sekurang-kurangnya 25 rakyatnya terkorban termasuk bayi yang baru dilahirkan. Dikala kita berbuka puasa dengan pelbagai juadah dan hidangan, meraka berbuka puasa diatas puing-puing runtuhan rumah dan beratapkan langit menikmati juadah berbuka apa yang ada. Pastinya suasana syawal tidak semeriah dan seceria kita namun, keberadaan mereka dalam medan perjuangan sebenar berdepan dengan serangan pihak Zionist saban waktu pasti memberikan nilai mujahadah yang sangat tinggi demi mempertahan bumi Palestin sebagai tanah suci ketiga umat Islam.

Sidang Hadirin sekalian,

Masih berbekas dihati kita kepiluan menyaksikan pembunuhan umat Islam di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 nyawa dan salah seorang daripada mereka merupakan anakmuda berasal dari Malaysia. Serangan bermotifkan kebencian melampau kepada Islam ini mengejutkan seluruh dunia. Dewan Pemuda PAS Malaysia berkesempatan menghantar wakil bertemu dengan Encik Mohd Tarmizi Shuib ayah adik Muhammad Haziq salah seorang syuhada’ di Christchurch bagi menyampaikan ucapan takziah bagi pihak DPPM. Di kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada kerajaan New Zealand atas kecemerlangan mereka mengendalikan krisis ini dan atas sokongan serta dokongan kepada masyarakat Muslim di New Zealand. Semoga ia menjadi contoh kepada kerajaan lain di dunia.

Berbeza pula situasi saudara kita di sempadan negara China. Penindas demi penindasan sedang berlaku terhadap etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang apabila hak mereka mengamalkan ajaran Islam dinafikan. Bukan sahaja rumah ibadah umat Islam diruntuhkan malah mereka dipaksa meninggalkan amalan harian sebagai umat Islam seperti berpuasa dan bersolat.

Isu umat Islam di negara bergolak arab semakin meruncing. Pasca ‘Arab Spring’ memperlihat negara umat Islam di tanah arab berdepan dengan pelbagai isu sama ada kestabilan politik dan kemanusiaan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria yang masih dalam kemelut perang saudara yang berpanjangan. Yaman juga masih dalam krisis politik diantara dua puak yang bertelagah yang memangsakan rakyat biasa sejak daripada tahun 2015. Di Libya pula masih belum mencapai kestabilan politik yang diharap-harapkan selepas era Gaddaffi apabila terdapat perebutan kuasa antara tiga kumpulan untuk memegang tampuk pemerintahan. Tidak cukup dengan ini, kumpulan Islamic State of Iraq & Syria (ISIS) pula wujud di tengah-tengah pergolakan umat Islam. Mereka memakai imej dan hujjah Islam untuk sewenang-wenangnya melakukan kekejaman dan pembunuhan. Dua kuasa besar di Timur Tengah iaitu Arab dan Iran sentiasa cuba memposisikan ‘supremacy’ dan pengaruh mereka sehingga menyemarakkan peperangan proxy di wilayah tersebut.

Di rantau Asia, isu umat Islam Rohingya masih lagi menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian. Nasib 724,000 pelarian masih samar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada negara serantau. Baru-baru ini negara jiran terdekat kita iaitu Brunei telah mengumumkan perlaksanaan Undang-undang Hudud yang berkuatkuasa April 2019. Berita ini menggemparkan dunia sehinggakan ada dikalangan tokoh dunia dan artis terkenal menyeru supaya produk Brunei diboikot. Saudara kita di Indonesia pula diuji dengan keraguan keputusan Pilihanraya Presiden (Pilpres) yang menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran yang mengorbankan bebrapa nyawa.

Apa yang menghairankan kita, dimana suara Malaysia dalam isu-isu antarabangsa dan serantau yang melibatkan umat Islam ini? Dimanakah peranan Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Dimanakah pula suara Malaysia di dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara(ASEAN)? Setakat ini respon kerajaan Malaysia terhadap isu melibatkan umat Islam tidak sepertimana yang diharapkan sebagai sebuah negara umat Islam. Kementerian Luar dilihat sangat lesu dalam membela nasib masyarakat Islam lain tetapi sangat ghairah untuk merektifikasi penjanjian-perjanjian antarabangsa yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara secara halus seperti Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan penyertaan dalam Statut Rom.

Justeru saya menyeru Pemuda PAS sekalian serta masyarakat Malaysia supaya mengambil perhatian dan memahami geopolitik antarabangsa supaya kita sentiasa waspada dan menilai politik Malaysia dalam lensa politik antarabangsa.

3.0 Bagaimana pula nasib Islam di tanah air kita?

Pasca PRU14, kekecewaan demi kekecewaan dihadapi oleh rakyat Malaysia. Bukan sahaja janji manifesto tidak ditunaikan, malah lebih mendukacitakan terdapat usaha-usaha mengganggu gugat kesucian Islam dibumi ini secara terang-terangan. Saban hari penghinaan demi penghinaan dapat kita saksikan melalui media sosial terhadap Islam, hukum-hukum Islam, Nabi Muhammad dan institusi Islam. Mereka sedaya upaya menanamkan persepsi negatif terhadap Islam serta cuba memecahbelahkan umat Islam agar mereka dapat mengambil kesempatan. Ramadhan yang lalu, ada dikalangan mereka yang sangat lantang menentang Islam di dalam parlimen tetapi diberi peluang menceroboh institusi Islam dengan mengagihkan zakat kepada masyarakat Islam. Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak. Ini dapat dilihat melalui percubaan merektifikasi Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang akhirnya membuka ruang kepada campurtangan antarabangsa dalam urusan negara kita.

Pada masa yang sama ancaman-ancaman kepada aqidah umat Islam semakin banyak. Keruntuhan akhlaq dan moral anak muda semakin menjadi-jadi. Budaya seks songsang semakin berleluasa. Ini disuburkan lagi dengan kewujudan ikon-ikon tempatan sama ada artis atau usahawan yang tanpa segan silu mempromosi budaya-budaya ini. Jati diri umat Islam semakin terhakis sehingga tiada sensitiviti terhadap kemaksiatan yang berlaku secara berleluasa. Mereka yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam lebih prihatin dan beriya-iya mempertahan agama lain serta lebih suka berdiam-diri ketika agama Islam dihina.

Jelas kepada kita bahawa Islam diserang dari pelbagai sudut, iaitu dari sudut aqidah, akhlaq, sistem perundangan dan politik.

4.0 Isu anak muda Malaysia

Melihat khusus kepada anak muda, mereka menghadapi isu seputar kehidupan dan ketidaktentuan masa hadapan disamping isu yang disebutkan diatas. Isu kos sara hidup masih menjadi isu utama yang dihadapi oleh anak muda daripada peringkat mahasiswa yang sedang menimba ilmu sehingga kepada yang telah pemuda dan belia yang telah mendirikan rumahtangga. Peluang pekerjaan untuk mereka sangat terbatas kerana situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan. Pembangunan tenaga mahir anak muda melalui institusi pendidikan teknikal dan vokasional mengalami krisis kecelaruan dari sudut pengurusan dan sistem sokongan sehingga menyebabkan kualiti graduannya tidak menepati kehendak industri semasa apatah lagi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 yang sudahpun bermula. Tiada halatuju jelas dalam pendidikan negara menyebabkan ketidakselarasan diantara akademik dan kehendak tenaga kerja semasa dalam membangun negara, akhirnya menyebabkan anak muda terumbang ambing dalam kehidupan mereka.

Sudah tentu situasi ini sangat merisaukan dan akan membawa kesan jangka panjang kepada generasi anak muda akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara di pelbagai peringkat. Sesuatu perlu dilakukan.

5.0 Penguasaan politik dan ekonomi

Sidang hadirin sekalian,

PAS yang telah tertubuh sejak 24 November 1951 membawa misi yang sentiasa konsisten dalam arena politik Malaysia yang termaktub dalam Fasal 5 perlembagaan PAS. Semenjak itu PAS menyertai politik dan menyertai perjuangan bersama dengan parti lain mendapatkan kemerdekaan. PAS menyertai pilihanraya sejak PRU yang pertama pada tahun 1955 sehingga PRU14.

Dari sudut kerjasama politik, PAS pernah menyertai Parti Perikatan pada tahun 1973 dan menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan tujuan menjamin kestabilan politik negara pasca peristiwa 13 Mei 1969 sebelum dikeluarkan daripada perikatan tersebut pada tahun 1978 disebabkan krisis politik di Kelantan. Pada tahun 1989, PAS bersama Semangat 46 serta parti kecil lain membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya membetuk kerajaan di Kelantan pada tahun 1990. Pada tahun 1999 pula, PAS melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK) yang diterajui PAS kesan daripada krisis politik 1998 telah menubuhkan Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihanraya 1999. Pada April 2008 PAS menjadi parti komponen kepada Pakatan Rakyat bagi mendepani PRU-12 dan PRU-13.

Sejarah politik PAS penuh warna warni serta melalui jalan yang penuh ranjau. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa PAS adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip. PAS pernah bersama UMNO dan pernah juga pernah berseteru dengan UMNO. PAS pernah berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, PAS juga pernah bersahabat dengan DAP. PAS pernah berkawan dengan PKR dan PAS tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR. Dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju tetapi diam dalam redha dan ada yang membantah serta lari dari perjuangan. Namun apabila prinsip menjadi dasar perjalanan parti, kesan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana ia milik Allah. Apa yang lebih penting setiap tindakan yang PAS lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahalluf atau berta’awun disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan didalam perlembagaan PAS iaitu demi mempertahan Islam. Dalam mencapai matlamat ini, PAS sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting dan ia perlu di dokong oleh kesatuan dan kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi. Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini akan menjadikan kita ummah yang mampu berdiri sendiri dan gagah dalam berdepan dengan ancaman luaran dan dalaman kepada agama Islam dan pemuda Islam.

Justeru, Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia pada kali ini mengangkat “Demi Islam” sebagai tema dengan hasrat yang besar supaya para pemuda kembali semula kepada prinsip teras perjuangan PAS “Demi Islam” yang akan menjadi panduan dalam setiap tindakan kita. Ia juga akan menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan. Sesiapa sahaja yang memahami dan menerima prinsip ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia terbuka untuk mengadakan kerjasama.

6.0 Kesatuan melangkaui politik

Sidang Muktamirin sekalian,

Allah Ta’ala berfirman,

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. (QS Ali Imran:103)

Pasca PRU-14 menyaksikan penguasaan politik Islam semakin lemah. Islam diserang dari pelbagai sudut. Institusi Islam dihina. Anak muda hilang jati diri Islam. Sensitiviti umat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Islam sangat rendah. Kesempitan hidup kerana kos sara hidup yang tinggi. Maruah umat Islam dicabar saban hari. Situasi ini sangat perlu difahami oleh masyarakat agar mereka melihat segala isu yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar dan luas. Persoalannya, adakah kesatuan politik mencukupi untuk memperkasa umat Islam di Malaysia?

Pada pandangan saya, kesatuan yang kita pelopori ini perlu melangkaui politik. Kesepakatan ini tidak hanya menjadi batu loncatan kepada agenda politik semata-mata, malah ia perlu pergi jauh dari itu. Kesepakatan dari sudut ekonomi dan aktiviti sosial juga perlu dimulakan kerana penguasaan ekonomi akan membentuk kekuatan material dan kewangan manakala penguasaan aktiviti sosial akan membangun kesedaran masyarakat untuk sama-sama bertanggungjawab memperjuang nasib mereka. Namun saya percaya kekuatan ekonomi umat Islam mesti dibangunkan secara serius sehingga ia menjadi kelebihan yang boleh kita manfaatkan dalam usaha membawa agenda politik dan kemasyarakatan. Kesepakatan ini perlu dilihat pada kerangka yang lebih besar iaitu pembinaan keupayaan dan kompetensi generasi anak muda Malaysia yang menjadikan agenda kekuatan ummah sebagai teras dalam melahirkan negara yang sejahtera.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini menyeru agar semua pihak dalam kesepakatan ini membuka ruang seluas-luasnya untuk belajar dan mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing agar kita saling tampung menampung dalam gerak kerja pada masa akan datang.

7.0 Prinsip-prinsip dalam kesepakatan

Sidang Muktamirin sekalian,

Saya ingin membawa beberapa prinsip yang perlu dipegang oleh kita dalam menjayakan kesepakatan dan kesatuan ini. Prinsip yang pertama adalah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan yang lebih komprehensif maknanya dalam Islam. Keadilan dalam Islam mempunyai makna yang lebih luas kerana ia bukan hanya bersifat kebendaan tetapi juga menyentuh perkara spiritual. Keadilan dalam Islam melangkaui bangsa dan agama serta memberi jaminan kepada yang bukan beragama Islam hak-hak mereka akan sentiasa terjaga.

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu Untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan takwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al Maidah: Ayat 8)

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS dan Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan taqwa (God Conciousness) sebagai kayu ukur kepada kejayaan seseorang tanpa mengira latar belakang, kaum, bangsa dan dari mana mereka datang. Selama berabad lamanya Islam memerintah di 2/3 dunia, hak masyarakat bukan Islam yang berbilang bangsa dan budaya sentiasa terjaga dan kehidupan masyarakat dalam keadaan sejahtera. Malah mereka secara sukarela menjadi sebahagian daripada masyarakat serta tentera yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi negara mereka.

Prinsip kedua yang sangat berkaitan dengan prinsip pertama diatas adalah kita mesti memahami bahawa kesepakatan dan perpaduan ini tidak disandarkan kepada perkauman. Kita perlu membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa kesepakatan ini menjadikan perlembagaan sebagai dasar yang merupakan kontrak social yang selama ini disepakati bersama oleh para pejuang kemerdekaan yang terdiri dari berbilang kaum. Kesepakatan ini adalah talian hayat masyarakat dalam menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan ahli politik yang bukan sahaja tidak berintegriti malah tidak kompeten dalam mentadbir negara.

Prinsip ketiga adalah penyatuan ini mesti memfokuskan agenda penyelesaian isu-isu rakyat tanpa mengira ideologi. Telah dihuraikan sebelum ini isu-isu yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan ia semakin meruncing. Dewan Pemuda PAS Malaysia dan PAS sebagai sebuah organisasi selama ini bukan hanya mengambil bahagian dalam pilihanraya sebagai sebuah parti politik, namun kami juga bergerak sebagai badan kebajikan dan badan pendidikan yang membangunkan masyarakat dan anak bangsa. Ini dapat dilihat daripada peranan Jabatan AMAL Malaysia, kolej universiti, sekolah-sekolah, kelab sukan dan jabatan profesional yang berada dibawah naungan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Prinsip keempat dan terakhir adalah keikhlasan. Setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain namun sentiasa cuba mencari titik persamaan. Sudah tentu akan ada prinsip atau dasar perjuangan parti yang tidak boleh diubah tetapi masing-masing perlu menghormati pendirian tersebut. Pasti ada ruang untuk menjalinkan kerjasama melangkaui politik. Pihak musuh akan cuba melaga-lagakan, tapi sekiranya kita memahami antara satu sama lain dan bertoleransi saya percaya kita boleh mengatasinya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia pasti jika prinsip-prinsip diatas dapat di cernakan sebaiknya, insyaAllah kita akan membentuk kesepakatan yang utuh dan mampu memenangi hati rakyat seterusnya mengambilalih Putrajaya pada PRU yang akan datang. Bagi DPPM, kesepakatan ini membawa sinar baru kepada Malaysia. DPPM memberi jaminan bahawa sama ada kami berada di luar atau didalam kerajaan, perjuangan kebenaran akan tetap kami dokong. DPPM akan menjadi platform utama anak muda menyalurkan suara, pandangan dan kritikan agar mereka juga boleh menyumbang dalam pembangunan negara. DPPM juga berikrar akan memastikan bawaha polisi-polisi yang sedia ada dan yang akan diperkenalkan akan ditambahbaik dengan menerapkan prinsip dan dasar Islam yang lebih adil. DPPM juga akan menjadi pemangkin dalam memupuk semangat patriotisma dikalangan masyarakat khususnya anak muda melalui aktiviti dan program-program yang kami jalankan.

Sidang hadirin sekalian,

Tema “Demi Islam” diangkat bagi memberi penekanan semula akan tujuan kewujudan DPPM serta menjadi kata panduan kepada tindakan pemuda PAS di semua peringkat. “Demi Islam “ seharusnya membawa pemuda memanfaatkan segala yang ada pada diri mereka untuk Islam yang syumul, tidak hanya terkongkong dalam ruang lingkup politik semata.

Sebagai pemuda PAS, kita sedia mengetahui bahawa perjuangan PAS bertunjangkan kepada 3 paksi utama iaitu tarbiyah (pembinaan tenaga kerja parti yang kompeten), da’wah (memberi kesedaran Islam kepada masyarakat) dan siyasah (penglibatan dalam politik untuk membawa suara Islam). Ketiga-tiga paksi ini mesti berjalan selari dan berterusan tanpa salah satunya ketinggalan ke belakang. Dalam kerangka ini, DPPM menggariskan beberapa gagasan untuk tindakan kepimpinan pemuda di semua peringkat dalam dalam usaha menjadikan pemuda PAS sebagai sayap yang lebih cemerlang.

1. Memperkasa tarbiyah melalui pembahbaikan kaedah penyampaian kandungan yang selari dengan gaya generasi baru. Saban tahun kita berbicara berkenaan tarbiyah sama ada dari sudut kandungan, sistem, naqib dan keperluan ahli. Namun, sudah tiba masanya kita melihat tarbiyah dalam kerangka baru khususnya dari sudut keberkesanan penyampaian dan pembinaan jati diri Islam pemuda PAS dalam persediaan memimpin negara dan masyarakat.

2. Melebar luas da’wah secara lebih professional dan fokus. Usaha da’wah perlu dipergiat bersesuaian dengan kehendak semasa yang mendesak agar Islam ditampilkan dalam bentuk yang asli dan berfakta bagi menangkis persepsi negative dan salah tanggapan/tafsiran kepada Islam. Untuk itu DPPM akan memperbanyak latihan kompetensi da’wah melalui kerjasama kita dengan agensi-agensi da’wah di Malaysia.

3. Memperkemas tadbir urus institusi pendidikan dibawah DPPM seperti PASTI, SMITI, SRITI agar lebih professional dan telus. Institusi pendidikan merupakan nadi kepada pembinaan generasi muda akan datang. Ia juga menjadi wadah perhubungan antara masyarakat dan PAS. Justeru, tumpuan yang lebih khusus diperlukan bagi meningkatkan imej dan reputasi institusi pendidikan ini agar ia menjadi pilihan utama masyarakat.

4. Memperluas capaian kepada masyarakat dalam usaha merakyatkan DPPM dan PAS dan menarik anak muda kepada Islam serta bersama dengan PAS. Kelab-kelab dan agensi yang sedia ada perlu ditambahbaik dari sudut sistem perkaderan dan pentarbiyahan. Penubuhan kelab-kelab baru juga perlu diperbanyak agar capaian kita lebih meluas.

5. Menjiwai Budaya Politik Matang & Sejahtera. Saya melihat beberapa salah tanggapan kepada BPMS sama ada dikalangan ahli atau masyarakat. BPMS bukannya slogan untuk berhadapan pilihanraya. BPMS juga bukan hanya bersifat lembut dan lunak dalam tindakan. Justeru, progam dan aktiviti khusus perlu dilaksanakan untuk pembudayaan BPMS dalam gerak kerja. Pada masa yang sama, BPMS hendaklah menjadi kriteria utama dalam program dan aktiviti yang hendak dijalankan oleh pemuda.

9.0 Membugar semangat perjuangan

Menyingkap lembaran sejarah, Pahang merupakan tanah yang subur dengan nilai perjuangan khususnya dalam menentang penjajahan. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau merupakan nama yang sering disebut apabila berbicara berkenaan perjuangan penentang penjajah di Pahang sekitar tahun 1891-1894. Dibawah kepimpinan mereka, tenaga rakyat sama ada tua atau muda digerakkan bagi mempertahan kedaulatan tanah air tercinta. Biarpun tidak ramai anak watan yang menyahut seruan perjuangan mereka, agenda perjuangan tetap diteruskan tanpa rasa takut dan gentar. To Ku Paloh sebagai ulama’ tempatan pula berperanan meniup semangat jihad mempertahanan agama dan tanah air. Ketika mana mereka merasa hampir putus asa, suntikan ruh Islam menyemarakkan semula obor perjuangan. Ini menunjukkan bahawa dalam konteks perjuangan dan penentangan penjajah di Tanah Melayu, Islam menjadi teras perjuangan.

Ironinya, pihak penjajah didokongi oleh para pembesar dan penduduk tempatan. Mereka dipergunakan oleh penjajah untuk mematahkan perjuangan bangsa mereka sendiri. Mereka rela diperalat demi mendapat imbuhan dan kesenangan sementara tanpa memikirkan masa hadapan kedaulatan tanah air dan keutuhan Islam dibawah penjajah. Kekuasaan dan hak keistimewaan penduduk asal yang tergadai sedikit demi sedikit diabaikan asalkan kehidupan mereka terjamin.

Watak-watak pendokong perjuangan dan pengkhianatan ini bukan sahaja terlihat dalam paparan sejarah, ia juga termaktub dalam Al-Quran sebagai panduan manusia sepanjang zaman. Diantara mesej utama yang Allah bawakan dalam Al Quran dan Sirah Nabawiyah dalam mendepani cabaran menentang kejahatan adalah i) pengukuhan jati diri Islam yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan dan nilai perjuangan dan ii) kesatuan berdasarkan aqidah dalam membentuk kekuatan jamaah.

Maka pemilihan Pahang sebagai lokasi perhimpunan perwakilan muktamar dan Muktamar Tahunan dewan-dewan sangat bertepatan dalam konteks perjuangan PAS dan perlu menjadi titik mula kebangkitan kesatuan umat menuju kegemilangan bertunjangkan Islam.

10.0 Penutup

Untuk itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Badan Perhubungan PAS Pahang atas kesudian PAS Negeri Pahang menjadi tuan rumah kepada Muktamar Tahunan

PAS dan Muktamar Tahunan Dewan-dewan tahun ini. Dengan sokongan dan dokongan padu daripada mereka khususnya daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang maka Muktamar Tahunan kita berjalan sepertimana hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para sekretariat dan sukarelawan yang bertungkus lumus dalam menjayakan Muktamar kita pada tahun ini. Tidak lupa kepada para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh pelusuk negara, saya ucapkan selamat bermuktamar. Semoga muktamar kali ini menatijahkan sesuatu yang terbaik buat Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam mendepani cabaran dan mehnah dimasa hadapn.

Jazakallahu Khairan Jaza’.

Akhir kata, “Demi Islam” ayuh pemuda PAS bangkit memimpin perpaduan. Seeru ‘ala barokatillah.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia