Ubat Kecut Peranakan

217

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

“Doktor, boleh ke saya makan ubat kecut peranakan?” Tanya seorang ibu selepas seminggu bersalin semasa sesi klinik. Beliau hadir untuk pemeriksaan bayi yang mengalami kekuningan.

“Tidak perlu puan. Saya bimbang boleh mengganggu tahap kuning pada bayi. Risau apa sahaja ubat kecut peranakan yang puan akan makan nanti boleh menyebabkan paras kuning akan makin tinggi.” Jawab saya dalam keadaan yang serba salah.

Tiada ubat yang spesifik dan diklasifikasikan sebagai ubat kecut peranakan. Itulah yang menyebabkan saya hairan kenapa ibu-ibu lepas bersalin diberi informasi sedemikian. Saya tidak pasti samada pegawai perubatan bertauliah atau sebaliknya yang menyampaikan nasihat supaya setiap ibu selepas bersalin mengambil ubat kecut peranakan.

Peranakan wanita (uterus) adalah unik. Dijadikan ilahi untuk menampung bayi semasa wanita hamil sehingga berpuluh kali ganda dari saiz asal. Dari saiz sebesar sebiji buah epal sebelum hamil, boleh membesar sehingga sebiji belon yang besar. Sejarah perubatan mencatatkan peranakan wanita mampu menampung seramai 15 orang bayi kembar dalam satu masa. Itulah kelebihan dan keajaiban yang Allah ciptakan sebuah organ yang bernama rahim.

Keunikan yang mengujakan ahli perubatan lagi adalah, peranakan itu akan kembali ke saiz normal sebaik sahaja beberapa minggu selepas bersalin. Tiada ubat khusus pun untuk mengembalikan saiz normal tersebut, Tindakan ini berlaku secara semulajadi. Hormon oksitosin yang dirembeskan setelah bersalin dan refleks dari menyusu bayi akan membantu pengecutan peranakan.

Dalam kes-kes yang tertentu, peranakan yang menggelendur (lembik) sebaik sahaja jam pertama selepas bersalin boleh berlaku. Dengan ini, pihak doktor akan memberikan suntikan oksitosin bagi mengecutkan peranakan dengan kadar segera. Jika tidak berbuat demikian perdarahan akan berlaku. Tumpah darah yang banyak melebih 500 cc akan menyebabkan ibu boleh mengalami pengsan atau membawa maut.

Selain dari itu, tiada ubat pil yang khas perlu diberikan kepada setiap ibu setelah bersalin. Jangan samakan dengan ubat rengat, di mana ubat tahan sakit kekadang diberikan kepada ibu yang mengalami kesakitan setelah bersalin. Ubat tahan sakit/rengat ini bukan ubat kecut peranakan.

Secara fisiologi, peranakan wanita akan mengecut sepenuhnya dalam tempoh 4-6 minggu selepas bersalin. Namun, peranakan wanita sudah sukar dirasai dengan tangan dalam tempoh 14 hari selepas bersalin. Jika masih terasa ketulan peranakan, sila bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan terperinci. Penyakit-penyakit seperti radang peranakan, fibroid, atau tertinggal uri adalah beberapa kemungkinan yang boleh berlaku. Para doktor akan melakukan pemeriksaan peranakan anda samada melalui pemeriksaan peranakan ataupun ultrasound.

Kaedah paling selamat untuk mengembalikan bentuk peranakan wanita selepasa bersalin adalah menyusui bayi secara eksklusif. Refleks hisapan susu dari bayi akan memberi signal pengeluaran hormon oksitosin secara sekata. Hormon ini diciptakan oleh Allah bukan sahaja untuk membantu bayi menyusu tetapi membantu ibu mengembalikkan bentuk badan termasuk organ peranakan kepada normal.

Perlu diingat, perut yang membuncit atau menggelendur, bukan bermaksud peranakan juga tidak mengecut. Organ perut pula terdiri dari otot-otot abdomen akan mengalami mengelendur jika tidak diuruskan dengan baik oleh para wanita selepas bersalin. Beberapa senaman tertentu boleh dilakukan dengan bantuan dan nasihat ahli perubatan untuk mengembalikan organ perut ke saiz normal. Walau agak sukar para wanita yang hamil untuk mengendalikan kecantikan perut selepas bersalin, tetapi usaha boleh dilakukan dengan kaedah senaman semampu mungkin. Bincanglah dengan doktor anda.

Penggunaan bengkung atau produk kesihatan tertentu hanyalah sebagai fatamorgana, kerana ianya hanya mengabui mata orang yang melihat si wanita selepas bersalin kempis perut dan cantik. Tetapi perut akan tetap menggelendur selagi tidak menjalankan kaedah-kaedah senaman yang sudah dikenal-pasti mengembalikan ke bentuk asal organ perut.

Justeru, jika terdapat penjual produk atau individu yang mempromosi ubat untuk mengecutkan peranakan atau perut, jangan terus percaya. Sebab tiada sebarang ubat atau produk yang spesifik (tidak lulus kajian klinikal) boleh mengecutkan peranakan atau kempiskan perut. Dibimbangi produk tersebut pula mengganggu sistem pemulihan selepas bersalin termasuk mengganggu sistem hati, sistem darah dan sistem buah pinggang. Sekali lagi saya tekankan, peranakan wanita akan mengecut dengan sendirinya tanpa apa-apa bantuan luaran pun.