Turunkan Harga Minyak, Sekadar Retorik PH

1153

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Seluruh rakyat tertipu dan diundang rasa sesal dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan harga minyak. Ianya sekadar retorik mengundang kepedihan di jiwa setiap rakyat.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi, Ghazali Sulaimam, juga berkata, setelah sembilan bulan pemerintahan PH terbukti gagal membela rakyat.

“Jika tidak semua manifesto ditunaikan, tunaikan dahulu untuk mengurangkan harga minyak ke paras RM1.50, sudah tentu ianya akan disambut baik oleh seluruh rakyat.

“Dan sudah tentu ianya akan memberi impak kepada turunnya harga barang-barang yang lain, serta dapat mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan tegar, setelah sekian lama terhimpit didalam penderitaan akibat kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Jalinan Kasih, yang diadakan di Bangunan Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billal Shah, di sini, pada hari hari semalam.

Menurutnya lagi, kini bukan masanya untuk rakyat terus menerus menyesal apa yang telah berlalu, sebaliknya mengambil iktibar dan beriltizam tidak mahu berpihak lagi kepada kerajaan yang tiada pernah mengambil berat kebajikan rakyat.

“Sekarang ini tanggungjawab para pengundilah bagi memastikan kegagalan tidak berterusan.

“Negara ini harus dibangunkan dengan pemerintahan Islam, yang melaluinya maka akan tertegak keadilan,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk setiap ahli PAS berusaha sehabis daya bagi menampakkan kerja-kerja Islam, agar terserlah keindahan Islam supaya dapat menawan hati pengundi Piliharaya Umum Ke-15 akan datang.

“Sekejap sahaja masa yang ada, berkemungkinan ada ura-ura mengatakan PRU ke-15 akan berlaku pada tahun 2020.

“Usaha bagi menampakkan kehebatan PAS sehingga rakyat tanpa ragu memilih PAS tentunya akan berpahala.

“Kerana agenda PAS adalah semata-mata Islam, dengan memastikan Islam memimpin, maka pertadbiran berasaskan Islam maka kita yakin, keadilan akan dapat ditegakkam, dan rakyat tiada lagi menderita di bumi Malaysia yang bertuah ini,” tegasnya.