Turun, Bertemu Dan Selesai Masalah Rakyat

6370

KUALA NERUS – Pemimpin kerajaan PAS Terengganu akan turun bertemu dengan masyarakat untuk merasai dan memahami sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Menteri Besarnya, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, bukan sekadar berjumpa semasa kemen pilihan raya umum (PRU) ataupun menilai atas laporan bertulis.

Oleh itu, beliau mengajak semua pihak anggota pentadbiran dan pemimpin serta rakyat turut sama membantu kerajaan bagi menyelesaikan aduan dan masalah yang menimpa rakyat.

“Tugas kita yang besar dan lebih berat pada ketika ini ialah bagaimana ingin mengisi kemenangan dengan penuh perasaan tanggungjawab dan melaksanakan manifesto yang kita isytiharkan kepada rakyat,

“dan semua perkara ini akan melalui proses penilaian serta perbincangan urusan pentadbiran kerajaan mesyuarat dan akan diumumkan pelaksanaannya bila tiba waktu yang sesuai mengikut keutamaan janji kita dalam manifesto itu,

“serta komitmen PAS ialah semua perkara yang dijanjikan dalam manifesto negeri akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan rakyat yang paling memerlukan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Kesyukuran kerajaan Negeri Terengganu pada Selasa, 15 Mei di Stadium Sultan Mizan, Zainal Abidin.

Katanya, kerajaan akan mengkaji beberapa perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan yang terdahulu dengan mengambil kira aspek keperluan dan kepentingan serta keuntungan kepada rakyat dan negeri.

“Tugas mengisi kemenangan ini tentunya lebih sukar mencapai kemenangan dan kita sama-sama bertanggungjawab membangunkan cara hidup beragama dalam kehidupan,

“tanggungjawab kepada negeri dan anggota pentadbiran kerajaan serta tanggungjawab kepada rakyat yang menyumbang untuk pembangunan ekonomi negeri dan seterusnya tanggungjawab sesama manusia yang menjadi rakyat di negeri ini,”ujarnya.