Turki Serang Balas Selepas Tenteranya Terbunuh Di Syria

686

Turki telah melancarkan serangan balas ke atas sasaran tentera Syria selepas sekurang-kurang lima askarnya dibunuh oleh pasukan kerajaan Syria di wilayah Idlib.

Kementerian Pertahanan Turki berkata, tujuh tenteranya juga cedera dalam serangan oleh pasukan Assad di kubu kuat pemberontak yang terakhir di Syria.

Menurut satu kenyataan, mereka telah diserang walaupun pemberitahuan awal mengenai koordinat mereka yrlah dibuat.

Sebaliknya Rusia, pendokong utama Presiden Bashar berkata, pasukan tentera Turki ditembak semalaman kerana kekurangan maklumat.

Perkembangan itu mungkin akan meningkatkan lagi ketegangan antara Turki dan Syria, boleh menyebabkan geseran antara Moscow dan Ankara, yang cuba menyelaraskan tindakan mereka di Syria.

Bercakap kepada wartawan sebelum berlepas ke Ukraine, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata respons Ankara melibatkan jet pejuang dan tembakan artileri terhadap sasaran ketenteraan Syria.

Erdogan berkata serangan balas membunuh antara 30 dan 35 tentera Syria.

“Mereka yang menguji keazaman Turki dengan serangan yang tidak baik akan memahami kesilapan mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa Moscow diberitahu Ankara tidak akan menentang sebarang “keadaan di mana kita dicegah” daripada bertindak balas terhadap serangan Syria.

“Tidak mungkin kita berdiam diri apabila tentera kita mati syahid,” kata Erdogan.

Pada sidang akhbar di Kyiv, beliau juga mengatakan bahawa hampir satu juta orang sedang bergerak ke arah sempadan Turki kerana pemerintah Syria menyerang Idlib.