Tuduhan RM90 Juta Tidak Jejaskan PAS

1333

Oleh KAM

MARANG – Usaha pihak tertentu memburukkan PAS kononnya menerima dana 1MDB daripada Umno sebanyak RM90 juta, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti itu.

Malah, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, PAS berjaya menambahkan undi popularnya.

“Alhamdulillah, kita (PAS) telah menang pilihan raya (PRU14) memerintah dua negeri. Pertahankan Kelantan, menang di Terengganu, hampir nak menang di Kedah dan dapat kerusi banyak di Pahang.

“Parlimen 18 kerusi dan undi popular kita (PAS) bertambah. Dun (Dewan Undangan Negeri) 90 kerusi.

“Ini bermakna fitnah mereka gagal. Kita terus mendapat kejayaan, itu sudah cukup. Dengan sebab itu, kita (PAS) merasakan tak ada gunalah, habis masa di mahkamah. Para peguam pun nasihat suruh kita tarik (saman). Kerana kita (banyak) nak buat kerja lain lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat Masjid Rusila, di kediamannya, Kampung Rusila, Marang, hari ini.

Mengulas isu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS bersikap terbuka dan sedia membantu siasatan.

Namun, katanya pihak SPRM perlu juga berlaku adil dengan menyiasat sumber kewangan parti-parti lain termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Kita harap siasat juga parti-parti lain bukan kita sahaja. Kena siasat parti DAP, siasat PAN. Parti-parti ini daripada mana dia dapat duit, dia belanja pilihan raya.

“Kita sumber kita daripada ahli-ahli kita sendiri. Kita seluruh negara ini punyai 190 lebih kawasan, sejuta lebih ahli-ahli (PAS), dan kita mampu buka beribu Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam), beratus buah sekolah bawah PAS ini.

“Jangan peliklah daripada mana PAS dapat duit. Cuma jelasnya duit itu poket kita sendiri. Orang kita sendiri yang bekerja, bertungkus-lumus menyumbang derma.

“Apa yang dibuat itu hanya semata-mata untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada PAS,” jelasnya mengenai dakwaan fitnah RM90 juta Sarawak Report.

Apatah lagi, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, Undang-undang Britain dengan Undang-undang di Malaysia tidak sama.

Menurutnya, kes saman fitnah itu hanya boleh dibuat atas nama individu dan tidak boleh atas nama parti.

“Di Britain itu kes kena bawa atas nama individu, tidak boleh bawa atas nama parti (PAS). Sedangkan, tuduhan mereka itu kepada parti dan itu sudah ada kelainan.

“Kita melihat, kita sudah menang dari segi moral pilihan raya dan itu sudah cukup,” ujarnya.

Sepatutnya, kata Ahli Parlimen Marang itu, SPRM juga perlu menyiasat bagaimana parti-parti lain yang tidak punya kekuatan akar umbi menggunakan duit yang banyak dalam pilihan raya.

“Kena tanya parti-parti lainlah bagaimana mereka dapat duit. Jangan tunding jari kepada kita (PAS) sahaja. Kita ada sumber kita, parti lain mana sumber dia?

“Beritahu, cawangan (parti) dia banyak mana. Dia tidak ada cawangan yang banyak, PAN mana cawangan. DAP mana ada cawangan. Dia bertanding begitu saja.

“Di mana duit yang dia dapat? Itu kena siasat bukan sahaja kita (PAS) kena siasat, siasat semua,” tegasnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi, PAS tidak ada halangan untuk disiasat oleh SPRM kerana mahu dilihat parti itu bersih serta bebas rasuah.