Tuanku Puji, PH Keji

1564

Sudah difahami semua orang, samada dari kalangan bijak atau dungu, dari yang kaya, atau miskin, dari yang baik mahupun jahat yang lalat itu adalah pengotor. Ia suka kepada tempat yang kotor atau hal yang buruk serta busuk keadaannya. Lalat akan sentiasa membawa kekotoran. Manusia benci kepada lalat dan bawaannya. Manakala manusia pula suka kepada madu iaitu satu sumber makanan yang sangat baik khasiatnya serta mahal harganya.

Ia dihasilkan oleh lebah dengan mengambil segala nutrisi yang tiada upaya diekstrak oleh manusia untuk dijadikan makanan. Malah disebut Allah dalam al-Quran bahawa lebah diwahyukan olehNya dan memberikan manafaat kepada mahkluk. Dan lebah, diketahui amat benci kepada kekotoran, hanya mereka mencari sumber makanan yang baik-baik sahaja. Sangat bertentangan dengan lalat.

Merenung kembali ucapan perasmian Pembukaan Sidang Dun Terengganu bagi penggal ke 14, kali kedua pada Isnin lalu oleh KDYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud, kita akan dapati bagaimana kebijaksanaan baginda mengekstrak ‘madu’ daripada amalan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dibawah pimpinan PAS.

Pada permulaan titah ucapan baginda lagi, pujian telah diberikan kepada Memanda MB Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan sekelian pemegang amanah negeri dari kalangan Exco-Exco serta wakil rakyat PAS. Ia berkisar tentang sikap yang diambil oleh PAS iaitu membudayakan politik yang matang dalam melaksanakan agenda serta dasar negeri Terengganu.

Baginda jelas gembira kerana daripada asas BPMS ini, Kerajaan Negeri sedia melaksanakan semula, mana-mana projek dibawah kerajaan dahulu yang tidak memberi kesan buruk kepada rakyat dan kerajaan. Bermula dari ‘drawbridge’, pembinaan semula Pasar Payang, Bandar Baharu Kuala Nerus antara yang terbesar dan banyak lagi projek-projek lain yang dimulakan sewaktu zaman BN dahulu, diteruskan PAS.

Dengan beberapa penambahan yang lebih baik, apa yang dilihat oleh PAS ialah, jika bagi kesenangan rakyat, ia diteruskan. Kematangan berfikir oleh PAS ini membawa kepada penyelamatan daripada pembaziran wang rakyat yang telah dibelanjakan. Rakyat mendapat nikmat, kerajaan dapat menjana ekonomi negeri. Ia adalah kitaran wajib bagi memajukan negeri. Tanpa segan, MB menyebutkan ia adalah kesinambungan kerajaan terdahulu. Malu apa bossku kalau mengaku?

Tuanku Sultan Mizan jelas menggalakkan lagi kaedah yang sangat baik ini. Ketepikan politik kebencian membuta tuli oleh kedua-dua belah pihak, bagi kemajuan negeri dan kesenangan rakyat. Baginda sedar bahawa politik amat penting bagi pemerintahan, tetapi bila terlalu berpolitik menjahanamkan lawan masing-masing, akan membawa rakyat jauh hanyut kepada kebencian sesama sendiri.

Apatah lagi negeri Terengganu ini ditunjangi dengan dua buah parti politik Melayu-Islam yang terbesar. Hanya ada PAS dan Umno ketika ini di dalam Dun. Tuanku yang sangat bijaksana melihat keperluan kedua-dua parti ini bersatu dalam harmoni dalam Islam dan menggerakkan negeri ke destinasi kebahagian membawa bersama rakyat Terengganu. Kita berharap ini tanda baginda merestui kerjasama ini.
Oleh itu galakan Tuanku yang diterjemahkan dalam ucapan perasmian baginda dilihat sebagai suatu motivasi kepada ahli-ahli politik Terengganu bagi mempertahankan bukan sahaja kepentingan rakyat, malah lebih dari itu kepentingan agama dan bangsa itu sendiri. Jelas, Tuanku mahukan ketegasan Memanda MB bagi menangani masalah kebencian agama ini. Sayangnya Tuanku kepada agama Islam ini.

Tuanku Sultan Mizan pada pengakhiran ucapan baginda, meminta agar Kerajaan Negeri tidak mengenepikan peranan semua pihak termasuk rakyat dalam membuat keputusan. Ini juga bermaksud peranan Umno sebagai pembangkang, mesti juga diraikan sebagai menjadikan kerajaan Terengganu sebagai sebuah kerajaan yang ‘inklusif’. Ketepikan politik, pesan baginda, dan sentiasa mengangkat martabat perlembagaan persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Begitulah sikap yang terpuji yang ditonjolkan oleh Tuanku Sultan Mizan, memberi petua agar semua pihak berpada-pada dalam berpolitik. Sikap hormat-menghormati adalah menjadi asas kepada kesejahteraan hidup sesama kita. Dan PAS, serta rakan kerjasama baharunya Umno, telahpun mengorak langkah, membuka lembaran baharu senario politik di Malaysia. Kami menjunjung kasih atas ucapan Tuanku.

Tetapi malang, dalam mana institusi istana melihat BPMS suatu sikap yang mahmudah, ada pihak yang masih terkial-kial dengan gaya politik lapuk yang masih diamalkan, kerana percaya kepada kebencian kepada lawan adalah faktor kemenangan mereka. Fitnah adalah asas perjalanan politik mereka. Menyalahkan lawan samada dengan fakta yang benar, mahupun fakta yang salah, adalah ketagihan.

Mereka sebaliknya mengeji BPMS yang ideanya dicetuskan oleh Presiden PAS. Berbagai kata nista dan fitnah yang dilemparkan oleh PH terhadap sikap berbaik-baik dengan BN. Kadang kata mereka, PAS menyokong perompak, PAS pembela kleptokrasi, PAS berkawan dengan penipu. Tetapi apabila mereka sentiasa sahaja dilihat bergambar, makan dan berbincang bersama. Tidak pula dikatakan sebagai negatif.

PAS menyokong apa sahaja yang baik untuk rakyat, PAS tidak pernah berkompromi dengan sesuatu yang terbukti korup. Lihat sahaja, kemajuan yang ingin dibawakan oleh PH ke Terengganu atau Kelantan, PAS terima. Dalm isu integriti Bila LGE ditangkap, PAS diam, biarkan mahkamah menentukan samada LGE bersalah atau tidak. Bagi PAS, prinsipnya amat mudah, tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Najib juga pernah ditangkap, tetapi prinsip PAS tetap sama. Kes Khir Toyo, PAS tidak mendahului mahkamah dalam menghukum, Anwar Ibrahim? Arhh, sejarahnya amat panjang PAS membela beliau sehingga menggigit semula orang yang menolongnya, begitu juga Azmin. Sekarang, SU Politik kepada Menteri Pertanian ditahan untuk siasatan rasuah. Bila PAS diam isu kesalahan BN, PH marah, bila PAS diam kesalahan PH, mereka gembira.

Apa kenyataan pimpinan PAS berkaitan isu SU Menteri Pertanian? Ketua Penerangan PAS tidak mempercayai tuduhan itu, kerana beliau pernah menjadi SU Dewan Pemuda PAS Pusat, Exco Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi meminta jangan diaibkan dengan menyiarkan biodata orang kena tahan (OKT). Presiden PAS? Lagilah tiada masa untuk semua ini, beliau sibuk menulis bagi memahamkan rakyat tentang Islam, walaupun sedang dirawat di IJN. Diam semua pimpinan PAS, seolah-olah bersedih atas musibah yang menimpa OKT.

Kini isu terowong bawah laut pula. PAS juga diam. Cuba ahli PAS yang terkena musibah sebegini. Lihat apa yang mereka kata, jangankan yang ditahan, yang tidak pernah dibuktikan memberi atau menerima rasuahpun dijajanya fitnah keliling dunia. Bukan yang balaci peringkat bawah sahaja, tetapi barua si pondan peringkat menteri pun buat fitnah. Begitu kejahatan hati mereka.

Jelas sekarang kebusukan hati mereka, tidak dapat disembunyikan lagi. Seumpama lalat yang terbang mencari najis. Tidak akan mereka berhenti di tempat yang suci bersih kerana busuk dan kotor itulah kehidupan mereka. Kita mengharapkan suatu hari nanti, mereka berubah menjadi lebah, membawa khasiat dalam madu.

Sidang Dun Terengganu kali ini mungkin menjadi sejarah yang dikenang sebagai sidang yang mungkin teraman. Dapat diperhatikan bagaimana mantan MB memberikan nasihat, berjalan seiringan, duduk bersama dengan MB sekarang. Cerita seorang Exco, kakitangan kerajaan juga memberikan kerjasama yang tinggi kepada Kerajaan PAS kerana tiada sikap membalas dendam. Inilah hasil kesepakatan yang Tuanku suka, idea bernas Presiden PAS.

Pastinya orang kafir tidak mahu kesatuan Islam dibentuk. Bukan golongan itu sahaja, tetapi juga kumpulan yang menjadi khadam kepada golongan kafir ini juga tidak senang duduk, malah mengambil watak penjahat paling kejam dalam usaha memastikan kerjasama atas nama Islam dihapuskan. Ketika Tuanku Sultan puji, mereka mengeji kesepakatan ini. Merekalah sejahat-jahat manusia.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
4 April 2019