Tuan Guru Abdul Hadi Tokoh Penyatuan Ummah Sedunia

3770

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Presiden parti PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seorang ulama tersohor yang aktif dan berpengaruh, bukan sahaja di dalam arena politik nasional bahkan antarabangsa.

Masyarakat menggelarkan beliau sebagai pemimpin ummah sedunia.

Terkini, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Kesatuan Islam Sedunia Kali Ke-33 yang berlangsung pada selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November 2019 di Tehran, Iran.

Disamping menyampaikan ucaptama yang bertemakan ‘Kesatuan Ummah Bagi Mempertahankan Al-Aqsa’, Tuan Guru turut berpeluang memberikan pandangan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Majma’ Taqrib Mazahib dan bengkel yang dijalankan sepanjang persidangan tersebut.

“Alhamdulillah saya dan rombongan selamat pulang ke tanah air setelah bermusafir ke Tehran.

“Saya turut mengambil peluang untuk merapatkan hubungan dengan pemimpin gerakan Islam dan ulama’ yang mewakili kelompok Sunni dan Syiah dari seluruh dunia.

“Serta berkongsi pandangan ke arah mengukuhkan perpaduan ummah yang merentasi perbezaan mazhab, demi menjaga kepentingan dunia Islam yang berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Menurut Ustaz Abdul Hadi,beliau mendoakan agar usaha penyatuan ini akan menatijahkan kejayaan yang lebih besar kepada dunia Islam, berpaksikan kepada tonggak keadilan, keamanan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai jalan penyelesaian.

Selain giat berpolitik, beliau turut aktif dalam bidang penulisan. Terbaharu buku beliau bertajuk Islam Memimpin.

Ia adalah sebuah buku yang mengandungi kupasan isu semasa, dasar dan polisi sepanjang setahun PAS.

Buku tersebut sarat dengan kritikan sosial, fakta, sorotan sejarah dan ulasan nas syarak merangkumi pelbagai segmen penting negara seperti politik, sosial, undang-undang, ekonomi dan sebagainya.

“Bagi mereka yang ingin memahami realiti politik masa kini dan penyelesaian berteraskan Islam serta gambaran gagasan politik Islam yang dibawa oleh PAS, memiliki buku ini adalah satu kemestian,” tambah beliau ketika dihubungi semalam.