Tuan Guru Abdul Hadi Dinobat Tokoh Mursyid Ummah

2031

Oleh : Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Marang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menerima Anugerah Tokoh Mursyid Ummah bersempena Himpunan Pendidik Islam Malaysia 6.0, hari ini di sini.

Beliau yang juga Presiden PAS menerima gelaran itu kerana jasa bakti dan penglibatannya ke arah memartabatkan ummah khususnya dalam tarbiah Islamiah dan pembangunan kerohanian berteraska maqasid syariah.

Terdahulu, Tuan Guru menyampaikan satu bingkisan dalam slot Kalam Murabbi bersempena program berkenaan.

Antaranya Ustaz Hadi menyebut, “Di saat tanah air orang Islam dihancur leburkan, dijajah oleh musuh Islam tetapi mereka tidak boleh hapuskan agama Islam, tidak boleh nak padamkan cahaya Islam,

“Hal ini demikian kerana, Islam dipelihara oleh Allah kerana teras Islam berada di dalam hati orang Islam.

“Malah, kita menyaksikan hari ini tumbuh sekolah-sekolah agama, pusat-pusat agama dan kegiatan Islam berlaku di semua pusat pengajian tinggi”, ujarnya.

Program yang menghimpunkan pendidik Islam daripada pelbagai latar belakang institusi pendidikan seluruh negara itu diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu disini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Lebih 1,000 para pendidik peringkat kebangsaan hadir pada majlis yang diadakan di Terengganu selaku tuan rumah.