Trauma ‘Healing’ Di Palu Beri Kesan Mendalam

198

Palu, SULAWESI – Walaupun peristiwa gempa dan tsunami di Palu sudah berlaku lebih dari dua bulan yang lalu, namun mangsa tragedi tersebut masih lagi trauma.

Delegasi Misi Kemanusiaan Palu, Dr Suhazeli Abdullah berkata bayangkan mangsa gempa bumi dan tsunami yang kerisauan apabila langit mendung dan petir meletus.

“Mereka sudah sasau-minda(panic) mencari tempat perlindungan, ” ujar beliau.

Beliau yang merupakan doktor pakar keluarga memberitahu pasukan trauma healing (Psychological First Aid) yang diketuainya selesai menjalankan misi di sini pada 27 November.

“Dianggarkan lebih dari 8000 kematian akibat rumah ranap dek gempa bumi dan tsunami,  ” cerita beliau yang berada di sini bermula 22 November.

Dr. Suhazeli sedang meniup belon
Dr. Suhazeli seterusnya memberitahu, jumlah sebenar sukar mereka ketahui kerana kehidupan mereka bercempera dan tiada satu database kependudukan yang tepat.

“Di tempat bencana tanah dikisar seperti Balarua dan Potobo sahaja dicatat ribuan rumah terlibat, mangsa yang maut masih tertimbus dalam bumi yang sudah jadi ibarat padang jarak padang tekukur, ”

Terdapat mangsa yang selamat menceritakan saat cemas itu, suara mereka terhenti apabila terasa bersalah kerana tidak dapat selamatkan sanak saudara yang ditelan bumi, ”

“ketika itu hanya berfikir untuk selamatkan diri, suara meminta tolong terngiang-ngiang di telinga dan akhirnya mati di telan bumi,” ceritanya lagi.

Semoga anak-anak ini tidak lagi terbeban dengan tragedi tragis dua bulan lepas di Palu
Katanya, kisah-kisah dahsyat itu terbayang sentiasa di benak mereka sehinggakan boleh mengganggu tidur, terasa kehidupan kosong dan merasai bersalah tidak berkesudahan.

“Kecelaruan minda ini diperkuatkan lagi dengan kehidupan serba kekurangan, mereka bermalam hanya dalam khemah bantuan, panas dan gigitan nyamuk menjadi rintihan pilu, ” ujar beliau dengan penuh empati.

Sehubungan itu, kehadiran kami sebagai pasukan Trauma Healing sekurang-kurangnya boleh meredakan minda.

“Mereka berani luahkan perasaan kepada pasukan kami, yang sememangnya itulah kaedah bagi mengurangkan stres, ” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, dengan sesi teknik urutan yang dijalankan oleh Dr Azlin Amat (mendapat pengiktirafan teknik PFA dari Jepun).

Dr. Azlin Amat

“Ibu separuh umur itu menangis teresak-sebak kerana lega atas teknik urutan tersebut, sebelum ini tidak pernah lagi mereka diajar teknik urutan bahu dan kepala yang boleh mengurangkan stres,  ” tambah beliau yang mewakili
Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) Warga Cakna dan juga PAPISMA.

Bagi kanak-kanak pula terang beliau lagi, pasukannya telah membuat beberapa program khusus seperti penilaian tahap minda melalui saringan emoji.

“Seterusnya berhibur melalui permainan telur harapan, sungguh mengujakan mereka sehingga mereka tidak mahu melepaskan kami keluar dari khemah permainan, ” katanya mengimbas kembali misi yang berakhir 27 November itu.

Beliau turut memuji Exco PAPISMA Malaysia, Dr Syazif Othman, yang mengetuai kumpulan tersebut yang tidak putus-putus memberikan perangsang kepada anak-anak mangsa.

Dr. Syazif Othman, Exco PAPISMA Malaysia

“Supaya mereka hidup teguh walaupun ditimpa bencana yang dahsyat itu, ” ujar beliau yang terkejut kerana siri animasi kanak-kanak, Upin Ipin menjadi idola kanak-kanak di sini.

“Kami terkejut apabila lagu video Upin Ipin yang kami tayangkan sebagai salah satu kaedah ‘trauma healing’,

“Mereka serentak menyanyikan lagu tema kartun Upin Ipin tersebut, begitu minat yang mendalam mereka kepada Kartun Upin Ipin, ”

“Walaupun sekejap kehadiran di Palu , namun kesannya mendalam di hati kami dan di hati mereka,” cerita beliau teruja.

Akhirnya beliau berharap warga Palu semakin kuat dan mereka bangkit dari keranapan fizikal dan minda.