Tragedi MH370: Siapa Matikan Sistem Kawalan Penerbangan?

7677

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Malaysia perlu menubuhkan satu kumpulan baru (Fresh Team) untuk menyiasat tragedi kehilangan pesawat MH370 kerana masih ada satu persoalan yang belum terjawab.

Pakar Aeroangkasa yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, misteri yang belum terbongkar ialah, siapa yang mematikan butang Sistem Kawalan Kapalterbang (Aircraft Monitoring System) dalam penerbangan tersebut.

Beliau berkata, bagi seseorang, untuk mematikan sistem tersebut bukan suatu perkara yang mudah, mesti dilakukan oleh mereka yang mahir dalam bidang penerbangan.

“Saya memberi satu contoh, bagaimana selepas kapal terbang itu sampai ke Laut Cina Selatan, bila kapal terbang itu mahu pindah maklumat kepada menara kawalan terdekat tiba-tiba kapal terbang berkenaan tidak dapat dihubungi.

“Dan pada waktu itu juga sistem kawalan kapalterbang itu dipadamkan. Nak padamkan sistem itu bukan suatu yang mudah. Ia bukan berada di Kokpit pesawat tetapi di tempat lain dalam kapal terbang itu. saya tidak mahu nyatakan di mana tempat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tragedi kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang telah masuk tahun kelima sejak ia lesap pada 8 Mac, 2014.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, tidak mudah untuk ‘swicth off’ (padamkan) butang tersebut kerana seseorang perlu turun untuk membuka satu panel dalam kapal terbang yang mempunyai banyak butang.

“Jadi, siapa yang buat kerja macam tu. Itulah yang menjadi tanda tanya sehingga sekarang.

“Bagaimana pun saya tidak pula membenarkan satu teori konspirasi telah berlaku ke atas pesawat tersebut tetapi saya ada satu naluri tersendiri untuk menilai kes ini yang mana saya tidak mahu nyatakan di sini kerana ia melibatkan isu yang besar dalam negara.” jelasnya.