Tommy Perlu Dipecat Segera!

471

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara adalah peguam kepada kerajaan.

2. Tugas utama Peguam Negara adalah dua, menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, serta membuat apa-apa pendakwaan di mahkamah atas sesuatu kesalahan.

3. Tan Sri Tommy Thomas gagal dalam tugasnya kerana tidak menasihati Menteri Dalam Negeri dalam isu penggazetan LTTE sebagai pertubuhan pengganas sebaliknya mencerobohi bidang kuasa dan menyanggah secara terbuka Menteri. Bila Menteri menjelaskan ada asas kukuh LTTE masih digazetkan sebagai pertubuhan pengganas, Tommy masih berkeras menyatakan semakan semula wajib dibuat setiap enam bulan sekali. Jika Tommy ragu-ragu mengenainya, sepatutnya dia meminta penjelasan Menteri tetapi dia tidak berbuat begitu.

4. Tan Sri Tommy Thomas juga gagal dalam tugasnya kerana menarik balik pendakwaan di mahkamah terhadap 12 tertuduh LTTE setelah pejabat beliau sendiri yang sebelumnya memulakan pendakwaan tersebut. Sebagai peguam kerajaan, Tommy sepatutnya membela dan mempertahankan kerajaan, bukannya membela dan mempertahankan 12 tertuduh LTTE. Tindakannya mendakwa kemudian secara tiba-tiba menariknya balik kerana kes kononnya tidak kuat tanpa memberi peluang kepada hakim memutuskan adalah satu kegagalan yang memalukan.

5. Asas yang digunakan oleh Tan Sri Tommy Thomas waktu menarik balik pendakwaan di mahkamah terhadap 12 tertuduh LTTE juga akan membahayakan kedudukan dan keselamatan negara. Selepas ini, individu yang memiliki, menyebar atau menayangkan bahan-bahan yang berkait dengan kumpulan pengganas tidak lagi boleh didakwa di bawah SOSMA melainkan jika dia menunjukkan perlakuan yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan serius atau risiko kepada keselamatan awam. Ini akan membuka ‘floodgate’ kepada penyuburan budaya keganasan di Malaysia selain membolehkan kerajaan disaman oleh mereka yang pernah ditahan.

6. Di manakah lagi dalam dunia ini ada Peguam Negara yang melawan kerajaan?

7. Oleh yang demikian, saya menyeru seluruh golongan rakyat bangkit mendesak Perdana Menteri mengambil langkah segera menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Tan Sri Tommy Thomas sebelum negara menjadi lebih huru hara akibat tindak-tanduknya. Desakan ini adalah selaras dengan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sekian.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus