Titian Baru ‘B’ Ungguli Kejohanan Piala YB Bukit Payong

887

Oleh : MNA

MARANG – Pasukan bolasepak Titian Baru ‘B’ mengungguli Kejohanan Bolasepak Sembilan Sebelah Piala YB Adun Bukit Payung setelah menewaskan pasukan ‘abang’nya Titian Baru ‘A’ dalam penentuan sepakan penalti ‘sudden death’.

Titian Baru ‘B’ dinobatkan sebagai juara selesai penentuan sepakan ‘sudden death’ itu yang gagal disempurnakan oleh pemain Titian Baru ‘A’ setelah kedua-duanya buntu mencari sasaran gol selama kira-kira 20 minit dalam masa penuh permainan.

sola bukit payong1Pertandingan yang disertai sebanyak 28 pasukan sekitar Dun Bukit Payung, menawarkan hadiah dengan johan mendapat RM750, kedua RM500 dan ketiga RM250 berserta medal.

Menariknya bagi kejohanan kali ini yang berlangsung di Padang Bola Kampung Titian Baru itu, ialah pasukan Polis Bukit Payung yang turut serta memeriahkan pertandingan walaupun tidak mampu mara ke peringkat seterusnya.

Ketua penganjur kejohanan Saudara Rahim Razali, menganggap kehadiran pasukan Polis pada kali ini, menyerlahkan persefahaman antara Polis dan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan terutamanya pasukan Polis yang menjadi salah satu pasukan pencabar dalam kejohanan kali ini.

Penyertaan ini jelas menunjukkan Polis dan masyarakat adalah dua entiti yang berbeza tetapi saling memerlukan antara satu sama lain.

sola bukit payong3Berbeza dengan dahulu, sikap terbuka beginilah akan mengeratkan lagi hubungan Polis dengan masyarakat tanpa mengira kefahaman politik,” ujar beliau.

Razali juga menjelaskan johan dan naib johan, serta enam lagi pasukan yang layak ke suku akhir, akan mewakili Dun Bukit Payung bagi berentap dengan lain-lain pasukan di Dun-Dun Marang, bagi merebut piala Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang pula.

Turut hadir bagi memeriahkan serta merasmikan kejohanan ialah Wakil Rakyat Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan juga Ketua Pemuda Dun Bukit Payung Ustaz Ahmad Buniyamin Razimi.

Kejohanan selama dua hari itu berjaya menarik ratusan penyokong untuk turun bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.