Tindakan Segera Kawalan Serangan ‘Kumbang Merah Palma’

308

Saya meneliti setiap jawapan yang diberikan oleh menteri berkaitan soalan saya di Parlimen pada 9 dan 10 April 2019 berkaitan kawalan keselamatan makanan akibat ancaman Kumbang Merah Palma atau Red Palm Weevil (RPW) yang menyerang tanaman kelapa sawit dan kelapa negara kita.

2. RPW merupakah haiwan perosak merbahaya di bawah Akta Kuarantin 1976 dan pernah menyerang tanaman negara kita pada tahun 2016. Dianggarkan pembelanjaan kawalan RPW mencecah RM 4 juta setahun.

3. Saya menyambut baik usaha Kerajaan membanteras aktiviti penyeludupan anak pokok kelapa dan tamar dari Thailand yang merupakan punca utama serangan RPW kembali lagi menyerang negeri-negeri yang bersempadan iaitu (Kedah, Kelantan, Perlis) dan Terengganu.

4. Selain penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan RPW dan pelan tindakan pengawalan RPW di ladang sawit diwujudkan, saya mengesyorkan Kerajaan supaya menggunakan mekanikal atau kaedah kawalan dan pengurusan yang lestari bagi menghapuskan populasi RPW daripada terus merebak.

5. Kerajaan dan agensi yang terlibat perlu mematuhi kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang lebih mesra alam yang merangkumi kawalan kimia, fizikal dan biologi tanpa bergantung racun makhluk perosak semata-mata yang boleh menjejaskan alam sekitar.

6. Di samping itu, pemantauan dan penangkapan melalui perangkap feromon seks perlu ditingkatkan lagi selain menggunakan kaedah repellent atau penghalau serangga dalam kawalan RPW di negara kita.

7. Saya juga menyarankan laporan pengawasan dan pemantauan ladang sawit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RPW pada bulan ini perlu diumumkan terutama kepada pengusaha ladang sawit dalam mewujudkan kerjasama yang kukuh bagi membendung serangan RPW ini.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman