Tiga Khidmat ADUN Wanita Untuk Mangsa Banjir

258

Oleh : Syazwana Mohd Zohir

BESUT –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu membawa tiga khidmat ke Hulu Besut untuk mangsa banjir.

Zuraida Md Noor berkata, khidmat tersebut adalah dapur rakyat, membersihkan rumah yang ditenggelami air dan sumbangan barangan keperluan harian.

“Kami bersama-sama sekumpulan wanita dengan kekuatan hampir 70 orang turun padang, menyertai misi membantu mangsa banjir.

“Dapur Rakyat akan berpusat di Pusat Pemindahan Sementara Kg. La, bagi menyediakan makanan kepada mangsa dan juga petugas banjir.

“Manakala khidmat pembersihan rumah dan sumbangan barangan keperluan harian akan digerakkan oleh sukarelawan yang terdiri daripada belia dan beliawanis,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Ameerah negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Kg. La di Masjid Kg. La, Hulu Besut, di sini, pada semalam.

Menurutnya, kampung tersebut paling teruk terjejas dalam bencana banjir lumpur yang telah menimpa daerah itu.

Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut.

Turut hadir ialah, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Khairunnisa’, Skuad Khidmat Kawasan Kuala Terengganu dan Marang serta Muslimat Muda yang terdiri dari kalangan Ameerah, Briged Muslimat dan Nusaibah.