Tiga Karnival Bersejarah April, Anjuran PAS Dungun

480

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN- PAS Kawasan Dungun pada April tahun ini bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri kerana akan menganjurkan tiga karnival yang bermakna dan bersejarah Pada PAS Kawasan Dungun.

Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun berkata ketiga-tiga program itu akan disambut di Masjid Sura Dungun.

Menurutnya tiga karnival besar yang bakal diadakan itu ialah Karnival Israk Mikraj, Karnival 60 tahun PAS Kawasan Dungun dan juga sambutan 100 tahun Masjid Sura itu sendiri.

“Kos yang dianggarkan bagi ketiga-tiga program ini adalah RM 150,000.

“Diantara matlamat dan tujuan karnival berkenaan diadakan adalah bagi mengukuhkan PAS Kawasan Dungun dalam bentuk ikatan kekuatan di kalangan ahli-ahli perjuangan parti dan juga mempertautkan hubungan orang-orang lama dalam parti dengan yang baru dalam perjuangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, semasa menziarahi Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN Bukit Besi, Abas Abdul Ghani yang semakin sembuh dari penyakit stroke, yang dialami, pada hari ini.

Ustaz Wan Hassan menyifatkan ketiga-tiga karnival berkenaan adalah asas kepada menjana kekuatan PAS Kawasan Dungun.

Mengulas mengenai pemilihan Masjid Sura sebagai tempat yang dipilih adalah kerana, jika dibuat ditempat yang berasingan bagi ketiga-tiga karnival berkenaan ianya akan melibatkan kos logistik yang tinggi.

“Pada asalnya nak dibuat di Masjid Tuan Guru Haji Bidin, jadi PAS Kawasan Dungun terpaksa mengikut keadaan semasa dan memutuskan Masjid Sura sebagai lokasi pilihan penganjuran,” tegasnya.

Menyentuh mengenai Karnival Israk Mikraj akan berlaku perubahan cara menyambutnya.

“Kita tidak buat lagi dengan cara tradisi, dengan hanya menyambutnya di surau mahupun masjid.

“Tetapi ianya dibawa ke lapangan dijadikan satu program karnival,” ucapnya.

Menurutnya karnival berkenaan adalah rentetan dari kejayaan penganjuran Karnival Maulidur Rasul pada tahun yang lalu.

“Ianya pernah disebut oleh peniaga, kalau kita buat sambutan biasa, tak berapa berjalan sangat perniagaan di tapak program.

“Tetapi sekiranya ada karnival, ada hadiah-hadiah (cabutan bertuah) ianya menarik memyebabkan perniagaan mereka agak laku.

“Jadi itulah sebabnya pada awal tahun orang sudah mula bertanya akan karnival yang bakal kita lakukan,” ucapnya.

Tambahnya lagi ketiga-tiga karnival yanv bakal diadakan itu, tarikh yang dijangka adalah empat, lima, enam, serta tujuh haribulan pada bulan April tahun ini.