Tidak Pernah Timbul Isu Kafirkan Umno

316

Oleh : Husaif Mamat

KUALA TERENGGANU – PAS dan Umno tidak perlu ‘bermaafan’ kerana tuduhan kafir PAS terhadap Umno tidak pernah timbul.

Naib Presidennya, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenyataan itu tidak pernah keluar daripada mulut Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang ada hanyalah penjelasan batas-batas iman dan kufur berdasarkan tulisan ulama dalam kitab.

Katanya, dakwaan karut tersebut hanya dimainkan kembali kerana mahu menghilangkan fokus PAS dan Umno yang akan memeterai piagam pada 14 September depan.

“Fakta pertama yang perlu difahami ialah Pas tidak pernah kata UMNO kafir. Sama ada dulu atau sekarang, kalau individu-individu yang bercakap dan sebagainya, pada saya, Dato’ Seri Abdul Hadi sendiri ucapan dia tak pernah sebut pun perkara demikian.

“Yang kedua, apa yang disebut oleh YAB Tun (Mahathir) dan sesiapa sahaja dalam ruang lingkup masing-masing yang dibenarkan dalam perlembagaan Kalau ia satu perkara yang tidak betul, maka pihak yang sebut itu haruslah bertanggungjawab dengan ucapan mereka.

“Jadi kita tak boleh halang orang nak bagi pandangan atau bagi apaa-apa jua komen. Pada saya itu sudah luar daripada topik yang sebenar iaitu isu kerjasama antara Pas dan UMNO ini kita lebih berminat untuk lihat pada masa depan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi walk through bengkel Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade, di sini hari ini.

Beliau turut berkata, tumpuan adalah ke arah memperkukuh kerjasama dan usaha penambahbaikan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita lebih berminat untuk bergerak ke depan. Kalau nak cerita hal yang telah berlaku macam-macam kita boleh korek balik, tapi ia bukan langkah untuk selesaikan masalah,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PAS sejak dahulu menuduh UMNO sebagai parti kafir dengan kenyataan dalam ‘Amanat Haji Hadi’ menyebabkan kerjasama baharu antara mereka sukar dilaksana.

Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Abdul Hadi perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO kerana mengkafirkan parti itu sebelum membuat perjanjian baharu.