Tidak Berganjak Walaupun DiKecam

8408

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Kerajaan Negeri tidak akan berganjak untuk terus melaksanakan syariat Islam walaupun dikecam kerana yakin kebenarannya dan bertepatan dengan hukum Allah.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun, Cikgu Alias Harun berkata, undang-undang Islam wajib dilaksana memandangkan ianya adalah amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

“Berjaya (atau) tidak berjaya, kita kena usaha,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Wakaf Nelayan di Batu Tiong, semalam, 11 Januari.

Menurutnya, kerajaan juga akan melaksanakan hukuman takzir iaitu menangkap dan mengenakan hukuman kepada sesiapa yang tidak sembahyang.

” Kita kena ingat sembahyang itu tiang agama, runtuhlah agama kalau tidak sembahyang dan keberkatan tidak ada di dalam kehidupan kita.

“Jagalah sembahyang kita, kita bukan sahaja mahukan keberkatan kepada diri kita, keluarga kita, masyarakat kita malah negeri kita dan juga negara kita,” jelasnya.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang itu, wakaf tersebut adalah hasil gotong royong Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar  (LATAS), PAS kawasan tersebut bersama penduduk kampung itu.

” Memandangkan wakaf sebelum ini telah musnah di dalam kebakaran,  ” katanya.

Turut sama hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) kawasan, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang telah merasmikan wakaf tersebut.