Tiada Susur Keluar; Masalah Jambatan Pulau Sekati

5209

KUALA TERENGGANU – Ketiadaan jalan susur keluar Jambatan Pulau Sekati telah menimbulkan kesukaran dan kesulitan kepada para pengguna jalan baharu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, penduduk terbabit ingin mendapatkan kepastian daripada pihak kerajaan berkenaan perkara tersebut.

“Penduduk di sebelah kiri mengalami kesukaran kerana mereka terpaksa pusing ‘roundabout’ (bulatan) Losong dan mengambil jarak lebih kurang empat kilometer untuk pusing dan turun balik ke jalan utama menghala ke Buluh Gading,

“Sedangkan penempatan mereka kediaman mereka tak sampai pun satu kilometer daripada jalan utama yang ada,

“Oleh kerana tidak ada susur untuk mereka keluar dan mengambil jalan utama tadi mereka terpaksa pusing jauh, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Bajet 2018 Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, pada Selasa 13 Disember.

Beliau mempersoalkan, apakah perkara yang berlaku yang menimbulkan masalah itu disedari dari peringkat awal projek dan mengapa pihak kerajaan tidak mengambil kira soal kepentingan penduduk.

“Saya difahamkan bahawa pihak kerajaan telah mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji dan membuat anggaran kos bagi tujuan pembinaan jalan susur keluar ke Teluk Pasu bagi mengatasi masalah tersebut,

“Dan kami ingin mendapatkan kepastian status terkini kajian tersebut berapakah anggaran kos yang terlibat dan bilakah projek ini dijangka akan bermula,”soal beliau.

Justeru itu, beliau mengharapkan segala rancangan yang telah diumumkan oleh pihak Menteri Besar melalui pembentangan bajet agar sampai ke sasaran sepatutnya.

“sampai kepada sasaran dalam keadaan yang telus tanpa berlaku apa-apa ketirisan ataupun kebocoran supaya semuanya dapat mengambil manfaat,

“sekiranya mereka ini benar-benar berkelayakan untuk mendapat bantuan tersebut,” tambah beliau.