Tiada Pilihan, Bersatu Mesti ‘Ceraikan’ DAP!

375

Saya langsung tidak teruja dengan reaksi pemimpin BERSATU ke atas pemimpin DAP, Ronnie Liu, yang menghina Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menggelarkan beliau harimau kertas tidak bergigi dan yang dengan bongkaknya menyatakan DAP masih boleh membentuk kerajaan dengan parti-parti lain tanpa BERSATU.

2. Setakat ini pemimpin BERSATU paling kanan yang menyelar Ronnie Liu hanyalah Dr. Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan dan Ahli MPT BERSATU serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan dan Ketua ARMADA BERSATU. Ke mana perginya pemimpin BERSATU lebih kanan seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presidennya?

3. Dr. Maszlee pun sekadar menyebut tindakan Ronnie Liu merendah-rendahkan parti komponen lain ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas. Syed Saddiq pula sekadar memberi masa sehingga satu minggu untuk Ronnie Liu memohon maaf atau pimpinan DAP disiplinkan beliau. Sedangkan apa yang Ronnie Liu dan ramai pemimpin DAP lakukan adalah menghina dan menentang keputusan ketua kerajaan.

4. Hari ini penghinaan dan penentangan pemimpin DAP terhadap Tun Dr. Mahathir diteruskan oleh seorang lagi Ahli CEC DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy, yang menuduh Tun Dr. Mahathir gila dalam menjalankan hubungan antarabangsa.

5. Dr. P Ramasamy memarahi Tun Dr. Mahathir kerana menyakiti hati India bila membuat kenyataan palsu dan sensitif mengenai isu Kashmir dan Jammu dalam sidang PBB pada 27 September 2019 malah mengingatkan Tun Dr Mahathir tidak boleh menyebut apa dia suka dalam himpunan antarabangsa.

6. Sekali lagi, Dr. P Ramasamy ini kesetiaannya kepada India atau Malaysia? Kalau setia kepada Malaysia kenapa beliau membela India bila apa yang diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam sidang PBB adalah fakta mengenai apa berlaku di Kashmir dan Jammu selain nasihat supaya masalah di sana diselesaikan secara aman?

7. Kecaman terbaru Dr. P Ramasamy terhadap Tun Dr. Mahathir ini sekali lagi menunjukkan hipokrasi DAP dalam isu hak asasi manusia dan menonjolkan sentimen anti-Islam mereka kerana seperti disebut oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mangsa di Kashmir dan Jammu adalah umat Islam.

8. Bagi saya, tiada pilihan lain lagi yang ada pada pemimpin BERSATU selain memisahkan diri dari DAP dan membentuk kerajaan baru seperti yang dicadangkan oleh ADUN BERSATU Jeram, Mohd Shaid Rosli. Saya berkongsi keyakinan dan kepercayaan beliau bahawa Tun Dr. Mahathir mampu membina satu kerajaan baru tanpa DAP sekaligus memadamkan keegoan DAP.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus