The Malaysian Insider (TMI) dan Utusan Malaysia adalah Pakatan Bersekutu?

558

Oleh : Syed Ahmad Fadhli

Hari ini, portal sensasi TMI melaporkan tajuk berita “PAS Tidak Mahu Rampas Kuasa UMNO, Sedia Sokong BN, Kata Hadi”.
Berita itu disiarkan dengan bersumberkan Utusan Malaysia, media arus perdana yang berkepentingan UMNO.

Aneh bukan..? Sejak bila pula portal pembangkang ‘beriman’ dan percaya kepada media milik UMNO yang sering terkenal dengan budaya spin, putar-belit dan fitnah.

Pada satu sisi, media ini dilihat bermusuhan antara satu sama lain kerana pemiliknya mempunyai agenda yang berbeza.
Namun, demi melaga dan memburukkan imej PAS pada pandangan umum, mereka boleh bersatu seiring sekata.

Apabila disemak sumber asal berita yang bertajuk “PAS Tak Kemaruk Kuasa Perintah Negara-Hadi” yang disiarkan Utusan versi cetak pada hari ini, terdapat ulasan dan tokok-tambah perisa oleh pemberita/editor bagi menggambarkan betapa mesranya PAS kepada UMNO.

Inilah modal intipati yang diceduk oleh portal TMI untuk meneruskan agenda berterusannya memburukkan imej PAS. Tajuk berita asal telah diubah oleh TMI kepada “PAS Tidak Mahu Rampas Kuasa UMNO, Sedia Sokong BN, Kata Hadi”.
Wah, begitu hangat lagi sensasi tajuk berita ini yang boleh mengundang kecurigaan dan kekeliruan bagi sesiapa yang mudah terpedaya.

TMI sememangnya ingin membentuk persepsi jahat dengan membentuk pemikiran masyarakat agar percaya propagandanya bahawa PAS kini menjadi rakan baik yang sedia membela UMNO.

Jadi, sebenarnya apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam Ucapan Perasmian Himpunan Harap 3.3 di Marang.?
Adakah sama seperti yang dilaporkan oleh Utusan dan TMI itu..?

Saya menyemak dan mendengar kembali rakaman ucapan yang ada di Channel Youtube Terengganu Kini.
Ucapan Tuan Guru Presiden PAS selama 40 minit.

Beliau menyebut betapa pentingnya kembali kepada Islam dalam semua aspek kehidupan, tidak boleh memisahkan agama daripada politik kerana ada perhitungan dosa dan pahala.

Beliau menyingkap sejarah zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar Al Khattab, jatuhnya kuasa besar Parsi dan Rom, hasil negara melimpah ruah, banyak hasil negara.

Bukan sahaja pegawai kerajaan sahaja yang dapat pencen, bahkan rakyat biasa, orang tua yang tidak bekerja dan orang bukan Islam turut mendapat imbuhan itu.

TMI FitnahDikisahkan Saidina Umar Al Khattab ditegur oleh seorang rakyatnya kerana berpakaian baru, sedangkan kain yang dipakai Umar itu bukanlah diambil daripada jalan yang salah tetapi anak Saidina Umar yang memberikan bahagian kainnya bagi mencukupkan ia dibuat pakaian kerana tubuh badan Saidina Umar yang agak besar.

Dahulunya, ketua negara ditegur kerana sehelai baju, sekarang berapa Billion?

Bukan sahaja sekarang ini, zaman pemimpin dahulu berlaku juga. Bukan seorang PM, tetapi beberapa PM,macam itulah.
Kita marah yang ada pada hari ini, yang dahulu pun lebih kurang juga.

Masalahnya apa.? Kita pisahkan politik daripada agama.

Masukkan politik dengan agama yang ada hitungan dosa pahala, memerintah negeri ada hitungan dosa pahala.
Kalau ada dosa pahala, orang takut nak tipu rakyat.

Dikisahkan pula berkenaan zaman pemerintahan Saidina Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan pemerintah yang adil. Zamannya hasil negara melimpah ruah, cukai dihapuskan, penerima zakat pun susah hendak dicari. Sebaik sahaja Saidina Umar dilantik sebagai Khalifah, baginda mengarahkan isterinya (anak Khalifah Abdul Malik bin Marwan) agar memulangkan segala pakaian perhiasan pemberian ayahnya ketika memerintah dahulu kepada Baitul Mal kerana dibimbangi wujud salahguna duit negara dahulu.

Ketika Menterinya datang ke rumah berbincang hal negara, dihidupkan pelita. Apabila Menterinya bertanya hal keluarga, dihembuskan pelita tadi dan dihidupkan pelita lain pula. Ditanya kerana apa buat begitu.?
Pelita asal tadi adalah duit negara, pelita yang kedua adalah duit aku. Inilah warak, inilah zuhud.

Bagaimana kita mahu kembali kepada pemerintahan sebegini?

Kembalilah kepada Islam.. PAS mengajak balik kepada Islam, khususnya orang Melayu yang sudah beragama Islam, orang PAS yang sudah beragama Islam, orang UMNO dan orang atas pagar sudah beragama Islam, baliklah kepada Islam.

“PAS tidak tamakkan kuasa. Kalau UMNO balik kepada Islam, laksanakan Islam, mengikut hidayah Allah, bukan Islam kerana jibayah (hendak dapat sokongan rakyat), Islam yang sebenar-benar ikhlas kerana Allah, kita akan dokong Islam ditegakkan. PAS tidak berebut kuasa dan jawatan, PAS mahu Islam ditegakkan.

Tetapi, ingat jika Islam dipermain-mainkan, kita akan hambat sehingga lubang cacing..!!! Kita akan lawan, ini pendirian kita. ”

Jelas, terang lagi bersuluh bagi sesiapa yang sedia mendengar apa intipati ucapan Tuan Guru Presiden PAS itu pasti akan dapat memahami mesej murni yang beliau nyatakan.

Maaf, saya lebih mempercayai Ulamak yang memimpin jamaah berlandaskan Al Quran dan As Sunnah, maka bukanlah mudah untuk saya telan dan percaya sahaja berita pembohongan dan fitnah yang disampaikan oleh Utusan dan TMI ini….

*** Syed Ahmad Fadhli, ialah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS