TH Terengganu Untung; Wajib Kekalkan

147

Saya telah membuat semakan ke atas prestasi TH Hotel & Convention Centre Terengganu di Kuala Nerus dan mendapati bahawa ia telah mencatatkan keuntungan (selepas cukai) pada tiap-tiap tahun. Rekodnya seperti berikut :

2014 379.1 ribu
2015 706.9 ribu
2016 738.9 ribu
2017 1.716 juta
2018 1.025 juta

2. Sehubungan itu, soalan yang perlu segera dijawab oleh pihak pengurusan Tabung Haji ialah mengapa sebuah hotel yang telah mencatatkan keuntungan perlu diserahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV). Tidakkah ini bercanggah dengan tujuan pemulihan?

3. Apa yang sebenarnya perlu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Agama ke atas hotel-hotel seperti TH Hotel & Convention Centre Terengganu ini ialah membuat lantikan pegawai-pegawai yang lebih profesional untuk melipatgandakan keuntungannya, bukan dengan menjualnya terus.

4. Setelah hotel-hotel seperti TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang dikatakan rugi ini diserahkan kepada SPV, apakah ada jaminan bahawa ia akan dikembalikan kepada Tabung Haji setelah ia berjaya keluar dari kerugian? Pasti tidak ada.

5. Hotel-hotel seperti TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang untung ini adalah aset-aset milik para pendeposit Tabung Haji, oleh itu Kerajaan sepatutnya mendapatkan izin dan mandat dari mereka terlebih dahulu sebelum ia dijual.

6. Saya mempertahankan hak rakyat saya yang menabung di Tabung Haji supaya TH Hotel & Convention Centre Terengganu di Kuala Nerus, yang terbina hasil modal dan deposit mereka, dikekalkan dalam pengurusan Tabung Haji dan tidak diserahkan kepada SPV.

7. Keseluruhan episod yang berlaku dalam penjualan TH Hotel & Convention Centre Terengganu dan hotel-hotel TH lain adalah satu titik hitam kepada sejarah perjalanan Tabung Haji dan sejumlah 9.4 juta pendeposit yang membentuk nilai simpanan lebih RM75 bilion!

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus