Terengganu Ungguli Alam Ria PASTI Malaysia

702

Oleh : Muhd Afiq Zohir

BATU PAHAT – Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Negeri Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Alam Ria  PASTI Malaysia  2019 setelah mengungguli tiga acara untuk merangkul juara.

Ketua Kontinjen Negeri Terengganu, Mohd Syamri Razak berkata  Terengganu dinobatkan juara di dalam acara bercerita kategori lelaki, azan dan pidato, manakala bercerita kategori perempuan meraih naib juara setelah tewas kepada peserta dari Johor.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih  guru-guru dan para peserta PASTI.

“ Syabas dan tahniah buat semua adik-adik PASTI yang mewakili Negeri Terengganu dengan komitmen yang begitu tinggi bagi menggondol gelaran juara, ” katanya.

Beliau yang ditemui selepas pertandingan tersebut berkata demikian mengulas kejayaan berganda yang berlangsung di Dewan Universiti Tun Hussien Onn , di sini pada 28 September.

” Bagi pihak kontinjen, saya mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung”, ujarnya.

Menurutnya acara tahunan di dalam kalendar PASTI itu yang berlangsung selama satu hari dan sebanyak 11 acara telah dipertandingkan.

” Menang atau kalah merupakan adat pertandingan, walaupun ada pasukan yang kalah tetapi hakikat sebenar, para peserta merupakan juara di mata warga PASTI,” jelasnya.