Terengganu Semarakkan Budaya Ilmu Dalam Belanjawan 2020

250

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berlangsung dalam euforia tengkujuh dengan para nelayan berehat dirumah serta penoreh getah bercuti seketika. Tikaman air hujan pada bumbung rumah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada sidang DUN Terengganu menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu. Pelbagai inisiatif dan peruntukan untuk rakyat negeri ini terutama untuk kelompok B40 walaupun Terengganu juga terbeban dengan hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Negeri jantung hati muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga pilihanraya Umum , PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959 ,1999 dan 2018, manakala dalam Pilihanraya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini.

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, dimana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama.

Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang , paralel dengan kegiatan jihad ta’lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk diluar musim pilihanraya.

Dengan latarbelakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah ,maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam Pilihanraya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh-tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli , Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen.

Terengganu dalam dekad 1980an ,digegar dengan “fenomena Haji Hadi” yang menyaksikan simbahan semangat kebangkitan Islam yang luarbiasa. Kuliah masjid Rusila menggamit puluhan ribu pendengar terutama anak-anak muda peserta kebangkitan Islam. Bagi mengekang pengaruh PAS di Terengganu , kerajaan BN pernah merobohkan Institut Berakan yang menjadi kilang perkaderan PAS di negeri Terengganu pada tahun 1991.

Pimpinan PAS Terengganu memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI . Dewan Ulama PAS Terengganu dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam diseluruh Terengganu seperti Darul Taqwa,Darul Bayan, Darul Ehsan,Darul Iman, Darul Falah, SRIDAF dan lain -lain . Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI diseluruh Terengganu.

Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan dimusim hujan. Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram. Masjid diseluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah .

Sidang DUN Terengganu kali ini juga menunjukkan keseriusan kerajaan Terengganu dibawah DS Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar untuk memperkasa dan memartabatkan institusi pendidikan Islam. Sebanyak lima juta ringgit diperuntukkan kepada sekolah pondok, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di negeri Terengganu dalam belanjawan tahun 2020. Terengganu dijangka akan menarik ramai pelajar-pelajar luar Terengganu untuk bermukim ilmu di negeri ini terutama di sekolah pondok dan maahad tahfiz.

Terengganu melebarkan pendemokrasian pendidikan dengan lebih luas kepada rakyatnya dengan menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman. Impian untuk melihat kewujudan Universiti Islam juga bakal direalisasikan dinegeri ini , tanah berkah legasi para alim ulama dan istana yang cintakan ilmu agama.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK BPP Terengganu)