‘Tautan Kasih’ Hidupkan Sifat Ihsan

231

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Projek ‘Tautan Kasih’ menghidupkan sifat ihsan dalam kalangan pemuda terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik di daerah ini.

Inisiatif Pemuda PAS Kawasan Marang itu juga adalah untuk memupuk secara berterusan rasa cakna dan kerjasama di kalangan rakyat setempat.

Ketua Pemudanya, Yusuf Abdul Hadi berkata, muafakat anggota Pemuda PAS bersama Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang telah bergotong-royong membina tandas di dalam rumah.

Katanya ia adalah bagi kemudahan dan dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk.

“Kini siap projek yang ketiga di Kampung Sentul Patah. Sebelum ini kami turun di lokasi pertama iaitu di Kampung Rusila dan keduanya di kampung Undang.

“Siapa sangka zaman (serba moden) sekarang masih ada lagi penduduk yang terpaksa keluar rumah untuk ke tandas,” ujarnya ketika ditemui pada program itu, 29 Ogos lalu.

Oleh itu beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menjayakan program tersebut

“Saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada pemuda, orang kampung dan penyumbang-penyumbang,

“yang bertungkus lumus menyiapkan dan memberi sokongan kepada kami untuk meneruskan kerja-kerja kebajikan ini.” katanya.

Justeru beliau bersama Pemuda berazam akan meneruskan usaha murni itu.

“Kerja-kerja kebajikan ini akan berterusan. Selepas ini kami akan bergerak ke DUN Alur Limbat dan DUN Pengkalan Berangan pula,” kata Yusuf.