Tanpa Gaji Atau Elaun, Jabatan Amal Tetap Jalankan Tugas

1647

Oleh : Nizam at-Takiri

KUALA NERUS – Walaupun tidak diberi gaji ataupun elaun Jabatan Amal Malaysia tetap komited dan istiqamah dalam menjalankan tugas mereka kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pengarah Jabatan Amal Malaysia Terengganu Tuan Sauji Abd Rasid berkata, anggota amal sentiasa ikhlas dalam tanggungjawab mereka.

“Memang betul, kami tidak ada sebarang bayaran di dunia, tetapi di akhirat esok, ini bekalan kami.

“Dengan slogan Allah Tuhan kami, Rasulullah teladan kami, Al-quran pedoman kami, dan mati dijalan Allah adalah cita-cita kami, memberi kekuatan kepada kami,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa bertugas sempena Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2019 di Kompleks Tarbiyyah at-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, Bukit Tunggal, pada hari ini.

Oleh itu menurut beliau, seramai 30 orang anggota Amal yang bertugas pada program hari ini.

Katanya, program tersebut adalah anjuran Lajnah dan Jabatan Penerangan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Terengganu.

Turut hadir dalam program ini ialah pimpinan PAS diperingkat pusat dan negeri serta 600 orang yang terdiri daripada pimpinan di peringkat cawangan, kawasan, ahli di seluruh negeri Terengganu.

Jabatan Amal Malaysia atau lebih dikenali sebagai ‘Unit Amal’ merupakan salah satu jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, berfungsi sebagai sebuah pasukan kebajikan sukarela berpakaian seragam yang dianggotai oleh para pemuda.

Penubuhan Unit Amal adalah selaras dengan keperluan dan kehendak anak muda masa kini yang sentiasa ingin melibatkan diri dalam masayarakat dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan kebajikan.