Tangani Segera Pembakaran Terbuka

207

Sejak akhir-akhir ini isu kejadian kebakaran terbuka semakin rancak berlaku dalam negara kita. Merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas dijangka berlarutan sehingga bulan ini yang memudahkan lagi kebakaran berlaku di kawasan sawah padi, belukar dan hutan tanah gambut tanpa mengira masa.

2. Kecuaian masyarakat dengan melakukan pembakaran sampah yang tidak terkawal secara haram malah pendaki gunung atau pemancing yang meninggalkan punca kebakaran dan membuang putung rokok merata tempat antara faktor kebakaran terbuka meningkat.

3. Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), kejadian kebakaran terbuka di seluruh negara meningkat pada bulan Februari sebanyak 3,054 kes iaitu 58 peratus yang dilaporkan berbanding 1,936 kes pada Januari.

4. Sekiranya isu ini berleluasa tanpa kawalan dan tindakan yang ketat boleh mengakibatkan kemusnahan khazanah biodiversiti dan pencemaran udara termasuklah jerebu teruk seperti mana yang berlaku pada 1997 dan 2015 sekali gus memberi kesan kepada kesihatan manusia.

5. Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilakukan hanya dengan arahan semata-mata tetapi perlu disertai dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tegas iaitu merujuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta KerajaanTempatan 1976 yang berkaitan.

6. Selain itu, pemantauan berkala daripada pihak berkuasa perlu dipergiatkan lagi bagi kawasan atau hutan yang kebarangkalian terjadi pembakaran pada musim panas di setiap negeri.

7. Kerajaan diingatkan supaya tidak berhenti melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan berkala pada bulan ini sahaja. Oleh itu, agensi yang telah diperwakilkan kuasa sebelum ini iaitu JPBM, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya melaksanakan penyiasatan sebarang aktiviti pembakaran terbuka secara haram yang menjerumuskan kepada risiko besar.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
28 Febrauri 2019/ 23 Jamadil Akhir 1440H