Tanah Rezab Melayu; Akhirnya Umno Sedar Diri

4843

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ketika membawa usul itu berkata, beliau tidak faham mengapa speaker menolak usul tersebut walhal ia amat penting untuk dibahaskan memandangkan penyusutan tanah rezab Melayu semakin kritikal.

mahfuz omar“Isu ini adalah perkara tertentu kerana penyusunan tanah rezab Melayu yang semakin mengecil keluasan sangatlah membimbangkan.

“Kerana itu kami berasa amat penting isu ini dibahaskan dan kita tidak faham kenapa speaker menolak pembentangan perkara tersebut,” katanya pada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin 10 November.

Ketua penerangan PAS itu menyertakan hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati jumlah keluasan tanah rezab Melayu direkodkan setakat 2009 menyusut kepada hanya kira-kira 12% iaitu seluas 1.6 juta hektar saja daripada keseluruhan 12.9 juta hektar keluasan tanah di Semanjung Malaysia, tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang.

Selain itu, beliau beranggapan penolakan tersebut mungkin kerana speaker terlepas pandang beberapa perkara yang ditimbulkan dalam usul berkenaan.

Mahfuz menolak alasan diberikan speaker mengatakan ia tidak perlu dibincangkan di Dewan kerana urusan tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, yang tidak memerlukan perbincangan di Parlimen.

Katanya usul yang dikemukakannya turut menyentuh Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Tanah Rizab Melayu.

“Mungkin speaker terlepas pandang tentang peruntukan yang saya kemukakan itu. Peruntukan undang-undang yang ada seharusnya melindungi dan mengawalselia tanah rezab Melayu ini,” katanya.

Pada masa sama, Mahfuz menggesa diwujudkan Lembaga Amanah Tanah Rezab Melayu berdasarkan Perkara 89 (5) Perlembagaan Persekutuan.

tanah rezab dirampas“Majlis Tanah Negara gagal bertanggungjawab seperti pada Perkara 89 (5) yang memperuntukkan setiap pengambilan tanah perlu diganti semula.

“Sedangkan apa yang berlaku hari ini rakyat dipaksa keluar apabila proses pengambilan tanah berlaku seperti di Kampung Chubadak, Sentul,” katanya.

Tanah Rizab Melayu Hanya Tinggal 20 Peratus

Dua minggu sebelum itu, akhbar yang dianggap sebagai lidah Umno, Utusan Malaysia telah melaporkan, hanya tinggal 3.6 juta hektar atau 20 peratus daripada 12.8 juta hektar keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung dimiliki penuh oleh orang Melayu.

Baki 9.2 juta hektar tanah rizab Melayu yang seharusnya menjadi milik orang Melayu bagaimanapun berjaya diperoleh orang bukan Melayu meskipun status tanah masih sebagai tanah rizab Melayu.

Profesor Pelawat Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Nik Yusof yang mendedahkan perkara itu memberitahu, perkara itu berlaku disebabkan kegagalan orang Melayu mempertahankan tanah rizab mengikut perkara 89 Perlembagaan Persekutuan iaitu Memperkukuhkan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.

Menurutnya, kegagalan paling jelas tanah-tanah rizab dirampas dengan mudah oleh orang asing apabila orang Melayu tidak tahu, semua tanah rizab yang dibatalkan daripada digunakan kerajaan negeri perlu diganti dengan meri­zabkan satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan status sebagai tanah rizab Melayu.

“Perkara seumpama itu jika dibiarkan dibimbangi akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Palestin apabila tanah mereka dirampas tanpa sebarang undang-undang oleh Israel.

“Sehubungan itu, diharap kerajaan dapat melakukan kajian khas bagi melihat perangkaan tanah rizab yang telah hilang dan bagaimana untuk membantu orang Melayu memahami secara keseluruhan enakmen rizab Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana dan Forum: Isu Tanah Rizab Melayu anjuran Biro Pemantauan dan Integriti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di sini hari ini.

Nik Mohd. Zain yang juga bekas Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian berkata, isu tanah rizab Melayu tidak akan selesai tanpa campur tangan pentadbiran negara memandangkan kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan hak orang Melayu.

Reserve-3“Saya berkata benar, saya pernah bercakap sendiri dengan dua Menteri Besar meminta mereka mempertahankan tanah rizab Melayu tetapi respons mereka mengecewakan. Mereka tidak berminat untuk menggantikan kepada orang Melayu kerana nilainya yang rendah berbanding dijual kepada orang bukan Melayu,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara sendiri telah mengingatkan, pihak berkuasa negeri perlu mengganti semula tanah rizab yang digunakan bagi projek awam seperti lebuh raya dan sekolah dengan mengeluarkan warta.

Bagaimanapun katanya, pihak pemaju dalam negara yang hampir keseluruhan terdiri daripada kaum Cina menyokong supaya kerajaan negeri tidak mengeluarkan warta berkenaan.

“Isu tanah rizab boleh menyelamatkan orang Melayu sekiranya kerajaan negeri menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar daripada kawasan tanah rizab mengikut perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Semua kerajaan negeri juga perlu memasukkan peruntukan baharu dalam Enakmen Rizab Melayu bagi membolehkan pemilik tanah Melayu dapat mengisytiharkan tanah milik mereka sebagai tanah rizab Melayu seperti negeri Johor,” katanya.

20 Peratus atau 12 Peratus?

Pada 17 September, 2014, Utusan turut menerbitkan laporan khas yang menyatakan bahawa, wasiat raja-raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 menetapkan nisbah 50 peratus tanah di negara ini diperuntukkan kepada Tanah Rizab Melayu. Tetapi hakikatnya kini setelah 57 tahun merdeka, ia menyusut kepada 12 peratus sahaja.

Screenshot (458)Penyelidikan yang dilakukan termasuk oleh pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Hasrol Haffiz Aliasak membongkar fakta penyusutan keluasan dan realiti terbaharu itu. Ia sesuatu yang mengejutkan dan pasti menggusarkan orang Melayu iaitu tentang Tanah Rizab Melayu, yang dilindungi untuk kepentingan anak cucu bangsa pribumi negara ini.

Satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu itu menyebut: “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Amanat raja-raja Melayu itu dimaktubkan dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu dan melarang sebarang bentuk penjualan ataupun pajakan tanah itu kepada bukan Melayu.

Secara tidak langsung, ketetapan itu mengukuhkan kedudukan dan kuasa Enakmen Rizab Melayu yang telah wujud seawal tahun 1913 iaitu kira-kira 100 tahun dahulu bagi menjamin pemilikan tanah oleh orang Melayu di bumi milik nenek moyang sendiri.

Wasiat raja-raja Melayu nyata jauh daripada sasaran. Kajian pada 2009 mendapati keluasan tanah berkenaan hanya kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Realitinya, kelemahan pengurusan di peringkat kerajaan negeri menyaksikan banyak tanah berstatus Tanah Rizab Melayu yang tidak diganti semula selepas dilupuskan statusnya.

Semakin hari semakin mengecil keluasan Tanah Rizab Melayu iaitu daripada keluasan 3.1 juta hektar (23.92 peratus) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99 peratus) pada tahun 2009.

Cukup menyedihkan, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu juga pernah mencatatkan angka yang cukup rendah iaitu 1.30 juta hektar (9.9 peratus) pada tahun 1983.

ChubadakMengambil contoh perbandingan berdasarkan negeri, Perak yang pada satu ketika pernah mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu sebanyak 1.4 juta hektar pada tahun 1921 telah menyusut kepada 309,051 hektar pada tahun 2009.

“Penyusutan berkali-kali ganda ini tidak hanya sebuah negeri sahaja, malah negeri-negeri seperti Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan lebih 50 peratus daripada jumlah asal yang diisytiharkan Tanah Rizab Melayu.

“Negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor telah menyumbangkan peningkatan jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu sebagaimana disaksikan dalam statistik tahun 1947 namun trend penurunan kemudiannya dapat dilihat di beberapa buah negeri,” kata Mohd. Hasrol Haffiz.

Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM.

Negeriseperti Kelantan, bagai­mana­pun, menunjukkan keluasan yang tinggi apabila mewartakan kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan tanahnya di bawah Tanah Rizab Melayu manakala negeri Johor pula memasukkan kesemua tanah Felda dan Felcra di bawah Tanah Rizab Melayu.

Kajian yang dilakukan terhadap negeri Terengganu mendapati, perolehan keluasan yang sedikit kerana negeri itu tidak hanya menggunakan Tanah Rizab Melayu tetapi juga Tanah Pegangan Melayu untuk melindungi kepentingan rakyat negeri tersebut.

Secara rumusannya, kajian beliau mendapati keluasan Tanah Rizab Melayu menunjukkan trend penyusutan ekoran terdapat banyak Tanah Rizab Melayu telah dibatalkan status untuk tujuan pembangunan dan penggantian tidak dilakukan secara serta-merta.

(d)-banggol donas4Sama ada melalui pelupusan tanah terhadap Tanah Rizab Melayu milik kerajaan ataupun pengambilan tanah terhadap tanah-tanah milik individu, banyak daripada Tanah Rizab Melayu itu tidak diganti semula seperti dikehendaki oleh enakmen berkenaan.

Perkara 89 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan antara lain meletakkan tanggungjawab kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan dengan suatu tanah lain yang sama jenis.

Kuasa pengisytiharan Tanah Rizab Melayu terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat dan perlu dibuat melalui warta kerajaan bertujuan mewujud, membatal, meminda had atau sempadan Tanah Rizab Melayu dan memasukkan tanah ke dalam kawasan tanah rizab sedia ada.

Penangguhan demi penangguhan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk menggantikan Tanah Rizab Melayu menyebabkan trend penyusutan itu berterusan dan tidak mustahil perkara itu menggugat kepentingan generasi Melayu akan datang.

Amat menyedihkan sekiranya Pihak Berkuasa Negeri terus gagal mematuhi undang-undangnya sendiri iaitu wajib menggantikan mana-mana Tanah Rizab Melayu yang telah dikeluarkan daripada statusnya.

Akhirnya Najib Arah Ganti

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengarahkan semua menteri besar di bawah Barisan Nasional (BN) menggantikan tanah rizab Melayu yang diambil bagi tujuan pembangunan.

Tanah-Rizab-Melayu (493x212)Bagaimanapun kata Perdana Menteri, tanah tersebut bukan sekadar menjadi tanah rizab semata-mata sebaliknya perlu dibangun dan dimajukan.

“Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik-pemiliknya,’’ katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Isu tanah rizab Melayu menjadi perhatian perwakilan dalam perhimpunan itu berikutan pendedahan Utusan Malaysia pada 17 September lalu.

Laporan ekslusif tersebut mendedahkan sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari 1914, tanah rizab Melayu tidak pernah mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah di Semenanjung Malaysia, sebaliknya hanya tinggal kira-kira 12 peratus sahaja.

Perdana Menteri seterusnya menegaskan, pindaan undang-undang itu dilakukan kerana terdapat kesukaran dari segi perundangan bagi membolehkan pinjaman diberikan bagi memajukan tanah-tanah tersebut.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan laporannya telah disediakan berhubung perkara itu. Kita tidak boleh berbangga dengan jumlah tanah tetapi yang penting memberi pulangan kepada pemilik tanah rizab tersebut,’’ katanya