Tahniah pembangkang Australia

167

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada pembangkang Australia Parti Liberal pimpinan Tony Abbott setelah mengalahkan kerajaan Parti Buruh dalam pilihanraya di Negara Australia.

Keputusan awal menunjukkan Parti Liberal mendapat 91 kerusi berbanding Parti Buruh yang memenangi 55 buah kerusi dalam pilihanraya di negara tersebut dan keputusan ini cukup mengangkat Parti Liberal sebagai parti pemerintah. [Gambar atas – Parlimen Australia]

Rakyat Australia telah menunjukkan semangat demokrasi yang tinggi untuk memilih parti pembangkang sebagai kerajaan baharu serta sanggup menukar kerajaan sedia ada secara aman. Mereka telah membuat keputusan dengan bijak demi kebaikan rakyat dan negara tersebut. DPPM memuji perjalanan pilihanraya di Australia yang berlangsung dengan tenang, aman, adil dan bersih melibatkan semua parti politik yang bertanding tanpa campurtangan daripada kerajaan yang memerintah.

Ternyata Parti Liberal berjaya memenangi hati rakyat dalam memperjuangkan isu-isu semasa kempen dan memenangi pilihanraya kali ini. Peralihan kuasa secara aman daripada Kevin Rudd kepada Tony Abbott membuktikan negara Australia mendukung semangat demokrasi yang tulen. Inilah contoh yang perlu ada kepada pemimpin negara-negara demokrasi yang lain agar mereka turut menjalankan pilihanraya secara adil dan telus.

Apa yang diharapkan agar Tony Abbott mampu menterjemahkan segala janji dan manifesto yang ditawarkan kepada rakyat Australia dan membela rakyat negara tersebut bagi tempoh yang seterusnya.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia