Tahniah Kerajaan PAS Terengganu

301

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) menzahirkan penghargaan dan mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri, dengan penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu melalui portfolio Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata Muslimat PAS Terengganu amat berbesar hati di atas kecaknaan dan kepercayaan kerajaan kepada Urus Setia Wanita Terengganu sebagai jawatankuasa pelaksana pemerkasaan wanita negeri ini.

“Penubuhan urusetia ini akan meletakkan wanita Negeri Terengganu untuk terus maju dan berdaya saing” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman sosial rasmi DMPNT semalam.

Menurutnya, penubuhan institusi itu akan menjadi pemangkin kepada ADUN Wanita untuk memartabatkan ‘kaum hawa’ dengan ilmu dan kemahiran sebagai ‘Pembangun Ummah’ dalam mencapai visi dan misi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

Sebelum itu, pengumuman rasmi penubuhan Urus Setia tersebut telah dinyatakan dalam sidang media Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, YB Hanafiah Mat pada 9 Ogos 2020 lalu.

Ia ditubuhkan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan portfolio wanita khususnya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.