Taawun PAS-Umno Gerunkan Musuh – Mohd Nor Hamzah

393
Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Semalam 29 Jun 2019, telah diadakan satu sidang media oleh PKR Terengganu yang dibuat oleh Azan Ismail, Pengerusi PKR Terengganu yang mencabar kerajaan-kerajaan negeri PAS dan Umno di empat buah negeri, agar diberikan kerusi Exco kepada parti taawun masing-masing sebagai menunjukkan kesungguhan usaha kerjasama kedua-dua buah parti dan bukan hanya sandiwara politik sahaja.

PAS Terengganu merasa sangat gembira dengan kegelisahan yang ditunjukkan oleh PKR Terengganu, walaupun taawun yang kami sedang bina ini tidak lagi sampai kepada kemuncaknya. Menunjukkan gerakan politik PAS, tidak dibuat secara semberono, ianya sangat bijak, sehinggakan menimbulkan kegerunan lawan. Saudara Azan sepatutnya lebih bersabar menanti episod demi episod taawun ini.

PAS Terengganu mencadangkan PKR Terengganu, agar mengambil langkah lebih peduli kepada masalah dalaman mereka sendiri terlebih dahulu. PAS sedia maklum akan adanya gerakan yang mahu menurunkan saudara Azan dari kerusinya sekarang dan berjalan dengan agak agresif. PAS juga faham akan kondisi saudara Azan yang tertekan, tidak mendapat posisi sebagaimana Pengerusi PH Terengganu, Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrain, dan Pengerusi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris.

PKR juga harus terlebih dahulu membasmi kerja-kerja politik kotor dan hanyir dalam kumpulan mereka. Mereka juga sepatutnya menyuruh DS Anwar Ibrahim agar diam dari membicarakan isu penggantian PM, dengan mengganggu PM sekarang yang mereka sendiri katakan sangat sibuk dan bersusah payah membaiki ekonomi Malaysia sekarang, yang dirosakkan oleh mereka sendiri.

PKR Terengganu sepatutnya menumpukan kepada janji-janji manifesto yang dibuat mereka tahun lalu supaya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Mereka juga sepatutnya memikirkan bagaimana mahu membawa pembangunan dari pusat ke negeri, bagi membantu rakyat dan kerajaan negeri. Inilah yang dikatakan politik berhemah, membantu rakyat tanpa mengira ideologi.

PKR Terengganu juga sepatutnya terus bersuara seperti ketika melawan BN di Terengganu dahulu, iaitu mendesak Kerajaan Pusat untuk membayar balik hutang-hutang mereka, setelah menggunakan wang royalti rakyat Terengganu. Ini semua amat penting bagi rakyat Terengganu sekaligus dapat membuktikan bahawa PKR tidak hanya bersandiwara dalam membuat janji. Bukan diam membatu.

Taawun ini adalah penyatuan seluruh ummah bagi menghadapi PRU 15 yang dijangka diadakkan lebih awal dan insyaAllah kami sudah bersedia untuk menghadapinya sebagaimana seruan Presiden kami, agar siap siaga bermula sekarang. Apa yang PAS dan Umno cuba lakukan tidak lain hanyalah bagi memberikan kembali hak rakyat yang telah diputar belit oleh PH ketika mereka merayu undi dahulu.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
30 Jun 2019/26 Syawal 1440