Syukuri Nikmat Sihat Ketika Syawal

363

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU – Nikmat masa lapang dan sihat yang dikurniakan Allah sering dilupakan oleh kebanyakan manusia sehingga tidak mensyukurinya dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi setiap larangan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim mengingatkan agar sama-sama mensyukuri nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah walaupun dalam kegembiraan terutama meraikan kemenangan di bulan syawal ini.

“Dalam kesibukan menyambut Aidilfitri bersama kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga di kampung halaman, luangkan masa untuk menziarahi yang kurang berkemampuan dan sakit bagi meraikan mereka,”

“Amalan ziarah-menziarahi ini bukan sahaja dapat membina hubungan baik malah mengingatkan kita diatas kurniaan nikmat kesihatan agar lebih bersyukur,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi beberapa orang penduduk Jabi yang mendapat rawatan di wad Hospital Besut, pada Isnin 10 Jun.

Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, program lawatan tersebut juga, turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas di Kampung Kuala Kubang, Mek Yam Mat Akib,77 tahun.

“Semoga dengan adanya kerusi roda akan memudahkan urusan seharian,” katanya.

Katanya, dalam tempoh setahun, hampir 30 buah kerusi roda telah diagihkan untuk warga Jabi yang memerlukan.

“Semoga Allah mempermudahkan urusan saudara kita yang berada dalam keuzuran. Tiada daya dan upaya kita melainkan kudrat yang dikurniakan Allah.”