Syiling ‘Samah’ Biayai Perjuangan Islam Lebih Nilai Daripada RM90 Juta

424

SETIU – Duit siling disimpan ‘samah’ atau 50 sen sehari dalam tabung buluh oleh ahli PAS di cawangan untuk membiayai perjuangan Islam lebih bernilai daripada RM 90 juta atau RM 900 juta duit daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata,penduduk kampung Kerandang turut menyumbang wang walaupun dengan duit syiling hanya untuk melihat Islam dan syariat Allah ditegakkan.

“Disaat ramai yang cuba mengkhianati perjuangan parti Islam Semalaysia (PAS) ada segelintir orang bawahan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan,

“Tetapi menyayangi perjuangan dengan sepenuh hati tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan melalui laman sosialnya, pada Ahad, 15 April.

Katanya, beginilah kehidupan orang kampung menyimpan duit untuk perjuangan Islam dan tiga bulan sekali tabung buluh akan dipecahkan beramai-ramai serta pakat menyusun duit syiling.

“Malam semalam saya bergurau dengan orang kampung sambil membelah tabung buloh dan mengeluarkan setalam duit syiling yang dibawa oleh ahli PAS cawangan,

“Orang kampung menamakan tabung ‘samah’ sebagai saham kepada perjuangan,”ujarnya.

Menurutnya lagi, ini bukan kali pertama beliau hadir dalam program pecah tabung pilihan raya tetapi entah kenapa hari ini hati kecil tersentuh dengan pengorbanan orang kampung untuk melihat panji Islam tertegak di bumi Terengganu.

“Mungkin lantaran apa yang sedang dilalui oleh parti akhir-akhir ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa saya,

“Dan saya lebih rela berada di sini membilang kepingan siling dari ditipu dengan janji kemewahan dari Umno BN,”tegas beliau.