‘Sweet Latas’ Laris Di Kemaman

1538

KEMAMAN – Hujan mencurah pada musim tengkujuh turut memberi limpahan rezeki buat pengusaha ubi di negeri ini termasuk daripada jenis Sweet Latas.

Sweet Latas yang merupakan ubi keledek klon bermutu tinggi habis dijual dalam tempoh kira-kira empat jam dI gerai jualan sempena Ijtimak Kepimpinan Pas negeri di pekarangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini hari ini.

Malah, anak pokok yang diusahakan Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar, Pas pada harga RM3 itu turut menarik perhatian ramai.

Penjualnya, Mohammad Said berkata, ubi Sweet Latas yang benihnya diperoleh daripada Bandung, Indonesia masih baharu di negeri ini dengan ketika ini ditanam di Kuala Nerus dan Besut.

“Teksturnya halus dan tidak berurat sekali gus sesuai untuk menghasilkan aneka juadah tradisional.

“Kita membawa 150 anak pokok dan tidak sangka setakat pukul 1 petang, baki yang tinggal cuma kurang 50 anak pokok,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Projek penanaman Sweet Latas di Pusu Tiga, Kuala Nerus merupakan projek perintis dalam usaha mengembangkan tanaman ubi tersebut yang boleh memberi banyak manfaat kepada orang ramai. – UTUSAN ONLINE