Sumbangan Besar Muslimat

522

KUALA TERENGGANU – Penglibatan golongan muslimah di dalam gerakan politik, dakwah dan tarbiah merupakan sumbangan besar di sisi Islam.

Ketua Muslimat Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata, mereka adalah sayap pengimbang perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

“Sebagaimana seekor burung tidak mungkin terbang dengan sebelah sayapnya, demikian juga sebuah jemaah yang berentap di pentas demokrasi seperti di Malaysia, sudah tentu berfungsi dengan baik dengan adanya sayap yang bernama muslimah.

“Selain itu muslimat juga berperanan besar dalam menentukan kuasa politik dan kejayaan membina kualiti insan dalam negara. Penganjuran aktiviti mesra-wanita dalam lapangan kemahiran, minat dan riadah boleh dijadikan wadah untuk mendekatkan PAS kepada golongan wanita,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang berkata demikian dalam kenyataannya sempena Mesyuarat Agung Muslimat PAS kawasan Marang kali ke-34 di sini semalam, 9 Mac.

Menurutnya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Marang sentiasa bersiap siaga dan berusaha untuk merealisisasikan seruan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang dalam Ucapan Dasar Presiden PAS semasa Muktamar Tahunan PAS kali Ke-64 (tahun lepas).

Katanya, beliau menyeru supaya muslimat sentiasa mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat, melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan.

Oleh itu, Zarani berkata, PAS berjaya mempertahankan ciri-ciri Parti Islam secara amali yang tidak mampu diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam sejak zaman penjajah sehingga kini.

“PAS sentiasa melakukan penambah-baikan mengikut perkembangan semasa, walaupun pemimpinnya silih-berganti menghadapi cabaran mengikut perjalanan usia PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951,” ujarnya.

Tambahnya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa DMPKM yang telah dipilih untuk penggal 2019-2021 dan dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik dan penuh iltizam.

Turut hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, Yang Dipertua PAS Kawasan Marang YB Haji Yahaya Ali.